Manusia mendapat penyakit sebab dijangkiti oleh kuman yang menyebabkan
penyakit. Acquired Immuno Deficiency Syndrome (AIDS) adalah penyakit yang disebabkan oleh sejenis virus yang dikenali sebagai Human Immunodeficiency Virus (HIV). Virus HIV digolongkan di dalam kumpulan virus retrovirus. Ini bermakna virus ini sangat lemah dan tidak dapat membiak dengan sendiri. Semua virus jenis retrovirus perlu masuk di dalam sel perumah (didalam hal kes AIDS ialah manusia) dan mencuri bahan genetik perumah berkenaan untuk membiak.
Maklumat yang ada menunjukkan virus HIV mengambil masa 8 hingga 10 tahun untuk menyebabkan penyakit AIDS. Maklumat yang ada juga menunjukkan hampir semua jangkitan HIV akan berakhir dengan AIDS. Walaupun begitu bukan semua tularan HIV menyebabkan jangkitan HIV. Ini bermakna di dalam keadaan tertentu (ahli sains dan pakar perubatan masih tidak pasti apa kah keadaan "tertentu" berkenaan), virus HIV masuk kedalam badan manusia tetapi tidak menyebabkan penyakit.
HIV adalah virus yang menyebabkan AIDS. HIV menyerang sistem daya tahan badan menyebabkan badan lemah dan tidak berupaya melawan jangkitan penyakit. Sistem daya tahan badan adalah mekanisma badan yang terdiri daripada sel darah putih. Sel-sel ini menyerang dan membunuh kuman dan virus yang masuk ke dalam badan kita. Jika seseorang disahkan dijangkiti HIV, orang itu dipanggil positif-HIV (HIV+) tetapi tidak semestinya dia menghadapi AIDS.AIDS melumpuhkan kemampuan tubuh untuk melawan penyakit (sistem imun tubuh). Ini kerana kuman HIV telah memusnahkan sel T CD4+ yang bertanggungjawab melawan penyakit yang disebabkan oleh kuman bakteria, virus dan lain-lain. AIDS bukanlah satu penyakit yang tersendiri. Dengan kegagalan sistem imun, pesakit AIDS lebih mudah terdedah kepada pelbagai kuman, termasuklah yang tidak membahayakan manusia yang normal dan beberapa jenis kanser yang jarang-jarang berlaku.
Bagi mereka yang menghidap AIDS, jangkitan dan penyakit yang biasanya tidak merbahaya boleh mengancam nyawa seperti jangkitan opportunistic berpunca dari mikrob yang lazimnya tidak menyebabkan penyakit pada orang sihat.Kriteria yang digunakan untuk mentakrifkan AIDS adalah merangkumi semua orang yang dijangkiti HIV yang mempunyai bilangan sel CD4 +T kurang daripada 200. Sel ini juga dikenali sebagai sel T4. Sel T4 ialah 'pejuang' utama dalam sistem pertahanan badan yang melawan penyakit. Orang dewasa yang sihat selalunya mempunyai 1000 atau lebih sel T4.
Laporan ada menunjukkan terdapat pesakit HIV kanak-kanak yang "sembuh" selepas 5 tahun dijangkiti HIV. Kanak-kanak berkenaan yang disahkan dijangkiti oleh kuman HIV selepas dilahirkan oleh ibunya yang juga dijangkiti HIV tidak
menunjukkan tanda-tanda yang biasanya dialami oleh pesakit HIV kanak-kanak.
Pemeriksaan lanjut menunjukkan kuman HIV tidak ditemui lagi didalam tubuh
kanak-kanak berkenaan.Laporan juga ada menunjukkan terdapat kes HIV dewasa yang telah dijangkiti selama melebihi 10 tahun tetapi tidak menunjukkan tanda-tanda AIDS. Di dalam satu kes yang melibatkan seorang dewasa wanita di Afrika. Kes satu lagi melibatkan penderma darah dan penerima darahnya. Jumlah sel CD4+ (yang biasanya dijadikan petunjuk keadaan kes-kes AIDS) juga berada di dalam keadaan normal.
2.0 SEJARAH HIV & AIDS
AIDS bermula daripada akhir tahun 1970. Pada awal 1980 dimana pakar-pakar perubatan di beberapa bandar besar Amerika Syarikat telah mula menemui suatu keadaan yang ganjil. Ianya ditunjukkan oleh gejala kurang daya tahan melawan penyakit. Ia ditemui di kalangan lelaki yang dahulunya sihat.Keadaan baru ini ditunjukkan oleh bengkak kelenjar linfa seluruh tubuh, infeksi opportunistik (selalunya radang paru-paru yang disebabkan oleh Pneumocystic carinii, mucosal candidiasis dan disseminated cytomegalovirus infection) dan Karposi sarcoma.
Pada bulan Jun 1981, penyakit ini telah menarik perhatian ramai pakar perubatan apabila Centers for Disease Control (CDC) melaporkan lima pesakit lelaki dari Los Angeles di dalam Morbidity and Mortality Weekly Report (MMWR). Selepas itu terdapat beberapa laporan dimana penyakit yang sama ditemui di kalangan lelaki homoseksual dan penagih dadah secara suntikan. Mereka-mereka ini menunjukkan sel T limfosit yang tidak bertindak balas dengan ransangan antigen dan mitogen (Sebagai pertahan utama tubuh, sel T limfosit akan menyerang semua bahan asing yang masuk kedalam tubuh samada ianya antigen atau mitogen). Beberapa lama selepas itu keadaan menjadi lebih jelas. Penyakit kurang daya tahan ini juga melibatkan beberapa kumpulan lain. Kumpulan berkenaan ialah pendatang dari kepulauan Haiti, pesakit hemofilia (sejenis penyakit keturunan dimana tubuh secara semula jadi memusnahkan sel darah. Oleh itu darah perlu diberikan kepada pesakit untuk terus hidup), penerima darah dan pasangan seks atau anak-anak kumpulan ini juga didapati mengidap penyakit yang sama. Oleh itu sehingga pada masa berkenaan kumpulan-kumpulan dibawah didapati mengidap penyakit ganjil ini ialah homoseks lelaki , pendatang daripada Pulau Haiti , pesakit Hemofilia, penerima darah, pasangan seks pesakit ganjil berkenaan dan anak pesakit ganjil tersebut
Kajian seterusnya menunjukkan, penyakit ini disebarkan atau diperolehi melalui hubungan seks dan pemindahan darah dengan orang-orang yang dijangkiti dan disyaki disebabkan oleh agen mikrob.Memandangkan keadaan ganjil ini adalah baru dan tidak pernah dilaporkan di dalam sejarah ilmu perubatan moden, ianya di gelar Acquired Immunodeficiency Syndrome (AIDS)
Di antara tahun 1981 hingga 1983, beberapa agen mikrob telah ditemui dan
dianggap penyebab penyakit AIDS ini. Pada tahun 1983, ahli-ahli sains dari
Institut Pasteur Peranchis menjumpai sejenis retrovirus yang didapati daripada pesakit asimptomatik (tidak menunjukkan tanda atau simptom) yang mengalami
lymphadenopathy (bengkak kelenjar linfa) seluruh badan dan tidak diketahui asal usulnya. Virus baru ini dinamakan LAV ( Lympadenopathy Associated Virus).
Berlainan dengan retrovirus lain, virus ini didapati membunuh sel CD4 limfosit
di dalam kultur tisu. Pakar-pakar sains lain juga mengasingkan virus yang sama di dalam pesakit AIDS dalam tahun 1984. Adalah jelas selepas itu bahawa virus ini adalah agen etiologi penyakit AIDS yang semasa itu ditemui di Amerika Syarikat, Eropah dan Afrika Tengah. Virus tersebut seterusnya dinamakan Human Immunodefeciency Virus (HIV).
Pada tahun 1986, satu lagi virus ditemui yang hampir bersamaan dengan virus HIV yang ditemui pada tahun 1984. Ianya ditemui dikalangan penduduk Afrika Barat dan juga menyebabkan AIDS. Virus ini dinamakan HIV-2 dan virus yang ditemui pada tahun 1984 dinamakan HIV-1.Sehingga sekarang AIDS didapati disebabkan oleh dua jenis virus yang hampir sama iaitu HIV-1 dan HIV-2.
Bilangan Kes HIV, AIDS dan Kematian AIDS yang dilaporkan ke KKM 1986 - Jun 2005
TAHUN HIV AIDS
Kes Kumulatif Kematian Kumulatif Kes Kumulatif Kematian Kumulatif
1986 3 5 na 1 1 1 1
1987 2 5 na 0 1 0 1
1988 9 14 na 2 3 2 3
1989 200 214 na 2 5 1 4
1990 778 992 na 18 23 10 33
1991 1,794 2,786 na 60 83 19 79
1992 2,512 5,298 na 73 156 46 134
1993 2,507 7,805 na 71 227 55 214
1994 3,393 11,198 na 105 332 80 379
1995 4,198 15,396 na 233 565 165 650
1996 4,597 19,993 na 347 912 271 1,123
1997 3,924 23,917 na 568 1,480 473 1,812
1998 4,624 28,541 na 875 2,355 689 2,686
1999 4,692 33,233 na 1,200 3,555 874 3,568
2000 5,107 38,340 na 1,168 4,723 882 3,568
2001 5,938 44,278 81 81 1,302 6,025 975 4,543
2002 6,978 51,256 165 246 1,193 7,218 887 5,430
2003 6,756 58,012 169 415 1,076 8,294 700 6,130
2004 6,427 64,439 3 418 1,148 9,442 1,065 7,195
Jun 2005 2,999 67,438 138 556 602 10,044 478 7,673
JUMLAH 67,438 556 10,044 7,673
3.0 ASAS SAINTIFIK
HIV menyerang dengan perlahan-lahan dan memusnahkan sesetengah sel darah putih di dalam badan (sel T CD4+). Dalam keadaan normal, sel-sel ini membantu tubuh melawan jangkitan kuman dan penyakit yang disebabkan oleh virus dan bakteria. Apabila HIV telah menyerang badan seseorang, sel-sel ini tidak lagi mampu melaksanakan tanggungjawab mereka kerana telah dimusnahkan secara perlahan-lahan oleh HIV. Ini bermaksud bahawa HIV akan turut memusnahkan keupayaan tubuh badan untuk melawan penyakit.
Rajah 1 Sel darah yang diserang virus HIV
Sebenarnya AIDS merupakan peringkat lanjutan bagi jangkitan HIV. Perkembangan penyakit ini melalui beberapa fasa :
Fasa 1 - bermula dengan HIV menjangkiti seseorang individu
Fasa 2 - di mana virus tersebut membiak tetapi pesakit masih tidak mempamerkan sebarang tanda-tanda atau gejala-gejala yang tertentu
Fasa 3 - membiak dan berkembang membawa kepada kewujudan beberapa tanda dan gejala yang memburukkan lagi mekanisma pertahanan tubuh.
Fasa 4 - pesakit mula mengalami penyakit-penyakit yang jarang berlaku yang digelar 'infeksi oportunistik' seperti Pneumocystis Carinii Pneumonia dan kanser termasuk Sarkoma Kaposi.
Fasa 5 - pesakit tersebut disahkan sebagai pesakit AIDS. Di dalam fasa ini, mekanisma pertahanan mengalami kemusnahan yang teruk dan sudah tidak mampu lagi untuk melawan serangan bakteria, virus dan kuman-kuman lain.
4.0 VIRUS HIV
Banyak hal-hal berkenaan penyakit AIDS yang masih kurang jelas. Diantaranya ialah sel apakah yang yang mula-mula diserang oleh virus HIV yang menyebabkan gejala seperti selsema di awal jangkitan?. Dibahagian manakah di dalam badan yang mula-mula diserang oleh virus ini ( sel darah periferal, tisu limfa, tisu sel dendrit atau sumsung tulang)?. Apakah sel monoklonal CD4 yang diserang oleh virus berada di dalam keadaan rehat atau tidak aktif?. Apakah faktor (faktor-faktor) yang menyebabkan keadaan klinikal pesakit menjadi AIDS?. Apakah kehilangan CD4 sahaja dapat menerangkan semua keadaan ini?.
Rajah 2 Serangan virus HIV
Maklumat lanjut tentang virus juga menjadi masalah kerana keadaan yang
seakan-akan kelenjar limfa secara mikro sukar atau tidak boleh diadakan di dalam kelalang kultur tisu. Walaupun begitu maklumat tentang virus HIV yang ada sekarang didapati dari kultur tisu atau dikiaskan berlaku didalam tubuh manusia dari analisa klinikal spesimen yang diperolehi dari pesakit yang seropisitif.
Virus HIV seperti retrovirus lain adalah virus RNA. Ianya memerlukan sejenis
enzim yang dinamakan ‘reverse transcriptase’ untuk menukar bentuk kepada DNA dan seterusnya membiak didalam sel tubuh manusia. Seperti retrovirus lain juga, virus HIV mempunyai bahan genetik group specific antigen yang dinamakan gag, polymerase (pol) dan envelope (env).
Virus HIV-1 dan virus HIV-2 dibezakan oleh sejenis bahan genetik yang menghubungan pol dan env. HIV-1 mempunyai bahan genetik vpu, sementara HIV-2 mempunyai bahan genetik vpx. Apabila virus HIV memasukki tubuh manusia, ia menyerang sel limfosit monoklonal CD4. Untuk menjadikan ianya berjaya hidup didalam tubuh manusia, virus ini mesti melakukan satu proses yang dinamakan replication. Replication virus HIV hanya akan berjaya jika ianya dapat menghasilkan bahan progeni yang mengandungi dua salinan genon RNA 9.2 kilobase (kb) yang dirangkumi oleh nucleocapsid, protin Gag seperti enzim (pretease, reverse transcriptase-RNase, dan integrase) dan membran lipoprotin luar dan kulit glikoprotin viral yang bersangkutan.
Rajah 3 Struktur HIV
5.0 CARA HIV MEREBAK
HIV hanya boleh dijangkiti melalui cara-cara berikut sahaja seperti melalui perhubungan seks tidak selamat (seks tidak selamat adalah seks tanpa menggunakan kondom lateks), melalui perkongsian jarum suntikan atau picagari dan melalui ibu kepada bayinya semasa kehamilan, kelahiran atau penyusuan.
Kebanyakkan orang dijangkiti HIV melalui perhubungan seks tanpa perlindungan dengan orang yang menghidap AIDS. Mengadakan persetubuhan tanpa perlindungna bermaksud melakukan hubungan seks vagina atau anal tanpa menggunakan kondom. Selain itu, seseorang boleh dijangkiti HIV melalui pemindahan darah yang dijangkiti. Seseorang boleh juga dijangkiti melalui peralatan yang pernah digunakan oleh pesakit AIDS untuk menindik telinga, tatu atau berkhatan di mana peralatan tersebut telah digunakan semula tanpa penstrerilan yang sempurna. Bayi yang dilahirkan mungkin dijangkiti HIV dalam uterus ibu sebelum atau semasa dilahirkan dan kadang-kadang melalui susu ibu.
HIV hanya boleh berjangkit melalui darah, air mazi dan air mani termasuk darah haid. Darah atau cecair-cecair badan boleh memasuki salur darah orang lain melalui luka, kesan lecetan atau kudis. Mereka yang menjaga pesakit-pesakit AIDS dan yang memberi pertolongan cemas patut mengambil langkah berjaga-jaga dengan menggunakan sarung tangan getah semasa melakukan tugas.
6.0 HIV TIDAK MEREBAK
HIV tidak boleh berjangkit melalui air peluh, air kencing atau air mata. HIV tidak boleh berjangkit menerusi kulit yang sihat ataupun melalui udara seperti virus selesema. HIV tidak boleh hidup di luar badan manusia seperti di atas kulit atau pakaian, dalam air atau udara.
HIV tidak boleh dijangkiti melalui pendermaan darah, berjabat tangan dan berpelukan, berkongsi telefon, kolam renang dan tandas awam, berkongsi makanan dan perkakas dapur, berkongsi tempat tinggal, bekerja bersama, belajar bersama atau berkongsi tempat tidur, bersin, batuk, air peluh atau air kencing, gigitan serangga (termasuk gigitan nyamuk) atau binatang dan menjaga seseorang yang positif-HIV.
Ramai orang beranggapan bahawa mendekati pesakit AIDS semestinya berisiko. Menggunakan pinggan, sudu dan gelas yang digunakan oleh pesakit AIDS tidak akan menyebabakan seseorang dijangkiti penyakit tersebut kerana virus AIDS tidak boleh hidup lama di luar tubuh manusia. Peralatan tersebut apabila dibasuh seperti biasa akan membunuh virus AIDS. Masyarakat juga mempunyai kebimbangan apabila ingin mendermakan darah. Menderma darah tidak mendatangkan mudarat kerana peralatan yang digunakan untuk mengambil darah tersebut adalah steril dan hanya digunakan sekali sahaja. Mereka yang tiada risiko AIDS adalah digalakkan untuk menderma darah. Proses pemindahan darah tidak berisiko kerana pada masa sekarang, semua darah yang didermakan di Malaysia telah disaring untuk mengesan kehadiran antibodi AIDS. Antibodi AIDS adalah bahan yang dihasilkan oleh tubuh mereka yang dijangkiti sebagai tindak balas terhadap jangkitan virus AIDS.
7.0 SIMPTOM-SIMPTOM DIJANGKITI HIV
Permulaan jangkitan HIV biasanya tidak menunjukkan sebarang tanda. Ada jangkitan yang akan menunjukkan simptom yang menyerupai demam selesema tiga sehingga enam minggu selepas jangkitan tetapi ini berlainan dari seseorang ke seseorang yang lain; orang itu mungkin sembuh dan berkeadaan sihat selama beberapa tahun sehinggalah sistem daya tahan badannya menjadi lemah dan orang tersebut jatuh sakit disebabkan jangkitan penyakit yang berulang-kali. Tanda awal yang serupa juga berlaku semasa jangkitan virus lain. Oleh kerana tanda-tanda ini hilang dengan mudahnya, ramai yang tidak mengendahkannya dan menganggapnya sebagai penyakit biasa. Jadi, satu-satunya cara untuk mendapat kepastian adalah dengan menjalani Ujian Antibodi HIV terutamanya jika anda rasa anda telah melakukan aktiviti yang berisiko.
8.0 SINDROM DAN TANDA KLINIKAL DIJANGKITI AIDS
Istilah AIDS adalah merujuk kepada peringkat jangkitan HIV yang paling lanjut. Gejala-gejala yang lebih teruk mungkin tidak akan muncul dalam tempoh satu dekad atau lebih selepas HIV mula-mula menjangkiti badan mangsa. Penyakit HIV akan bertukar menjadi AIDS apabila sistem pertahanan badan terjejas teruk dan pelbagai komplikasi mula timbul. Kebanyakan keadaaan yang membentuk AIDS adalah akibat jangkitan yang bersifat opportunistic (iaitu merujuk kepada jangkitan mikroorganisma yang biasanya tidak menyebabkan penyakit pada orang sihat).
Antara sindrom yang dapat dikesan adalah seperti jangkitan paru-paru yang dicirikan oleh batuk, sesak nafas dan sakit dada (contohnya, pneumonia dan tuberkulosis pulmonari atau miliari akut), cirit-birit yang teruk dan berterusan, jangkitan pada otak atau kanser yang dicirikan oleh kekeliruan, demam, sawan, kehilangan penglihatan, sakit kepala yang teruk dan loya, berat badan menyusut dengan teruk, CMV (sitomegalovirus), sejenis jangkitan yang biasanya menyerang mata, Kandida-sejenis jangkitan fungus yang menyebabkan seriawan (lapisan keputihan nipis dalam mulut) atau jangkitan dalam tekak atau faraj,
Mereka yang menghidap AIDS amat cenderung mendapat pelbagai jenis kanser seperti Sarkoma Kaposi, sejenis kanser kulit yang dicirikan oleh bintik atau tompok-tompok ungu/merah jambu yang timbul pada kulit; atau kanser sistem pertahanan badan yang dikenali sebagai limfoma.
Tanda-tanda klinikal AIDS bergantung kepada kriteria yang digunakan untuk
mendiagnos AIDS.Mengikut kriteria yang digunakan oleh Malaysia sekarang, tanda-tanda AIDS ialah , susut berat badan melebihi 1/3 dalam masa 1 bulan, demam berpanjangan melebihi 1 bulan, cirit- birit berpanjangan melebihi 1 bulan, batuk berpanjangan melebihi 1 bulan, mendapat jangkitan kandidiasis oral, mendapat jangkitan 'Kaposi sarcoma', dan mendapat jangkitan kayap yang kerap atau tidak sembuh.
Rajah 4 Kesan HIV/AIDS
Kelancaran sistem daya tahan melawan penyakit semula jadi badan sangat penting dalam aspek penjagaan kesihatan seseorang individu.Pemakanan, senaman dan rehat yang mencukupi dapat meningkatkan daya tahan melawan penyakit. HIV berkaitan dengan penurunan daya tahan melawan penyakit
Sel-sel limfosit merupakan sel-sel penting di dalam sistem ini. B-limfosit Menghasilkan antibodi (sejenis protein bagi memusnahkan agen jangkitan) T-limfosit Melawan serangan kuman (bakteria, virus dan fungi) dan mengawal barah. Neutrofil & Makrofaj Monosit Sel darah putih yang terlibat di dalam pemusnahan (menelan) kuman yang menyerang tubuh badan. T-limfosit adalah penggerak utama di dalam sistem pertahanan tubuh melawan penyakit. Apabila kuman memasuki tubuh badan manusia, sel-sel T-limfosit (helper) akan dirangsang untuk bertindak balas dengan membelah dirinya (cell division) serta mengeluarkan sejenis bahan kimia “limfokin”. Limfokin ini berfungsi mengawal pertumbuhan dan tahap kematangan sel-sel limfosit yang lain terutamanya sel-sel T-limfosit (suppressor/sitotoksik) serta B-limfosit dan juga makrofaj/monosit. Sel-sel T-limfosit (helper) membantu merangsang sel-sel B-limfosit mengeluarkan antibodi (memusnahkan kuman) sementara sel-sel T-limfosit (suppressor) membantutkan pengeluaran antibodi setelah jangkitan tamat. Mikrofaj dan monosit berfungsi dengan menelan, menghadam dan menyediakan “kuman” sebagai sasaran (target cell) untuk dimusnahkan oleh antibodi yang dihasilkan oleh B-limfosit atau terus dimusnahkan oleh T-limfosit (citotoksik, killer).
Rajah 5 Pesakit AIDS tahap kritikal
HIV membinasakan sistem yang sepatutnya memusnahkannya dan mempertahankan tubuh badan dari serangan virus tersebut. Apabila memasuki badan ia mencari sel-sel mikrofaj dan T-limfosit (helper), melekat (pada receptor) dan seterusnya menembusinya. Sel-sel ini akhirnya menjadi mangsa dan tidak berupaya menjadi pelindung. Setelah virus terlekat pada dinding sel, virus tersebut menanggalkan lapisan luar dan memasukkan inti (core) yang mengandungi bahan baka ke dalam sel (T-limfosit). Ketika berada di dalam sel, virus menggunakan enzim dipanggil ‘reverse transcriptase’ untuk menukar bahan bakanya (RNA) kepada DNA dan seterusnya bergabung dengan bahan baka sel (T-limfosit). Peringkat ini pesakit berada di peringkat pengeraman (telah dijangkiti tetapi tiada tanda-tanda dan gejala-gejala).
Virus ini menetap tersembunyi di dalam nukleus sel sehingga sel dirangsang untuk membiak. Virus baru akan keluar daripada sel sambil menggunakan dinding sel sebagai selaput luar virus (bertunas). Melalui cara ini T-limfosit akan musnah. Virus-virus baru ini akan mencari sel lain dan proses yang sama berulang, untuk seterusnya memusnahkan sistem daya ketahanan badan.
Dengan kemusnahan sistem daya tahan tubuh semula jadi, pesakit tidak berupaya melawan kuman-kuman tertentu dan akhirnya mereka akan menjadi mangsa kepada lain-lain jangkitan opurtunis yang pada kebiasaannya mudah dihadapi oleh sistem pertahanan semula jadi tubuh badan. Jangkitan-jangkitan tersebut meliputi jangkitan yang disebabkan oleh protozoa (haiwan satu sel) tertentu seperti pneumocystis carinii, Toxoplasma, Cryptosporidium, virus-virus lain seperti Cytomegalovirus (CMV), Herpes Simplex dan Varisella Zoster, kulat-kulat seperti Candida dan Criptococcus dan bakteria seperti dengan penyakit Tuberculosis dan Typhoid. Kebanyakan pesakit AIDS mati kerana penyakit-penyakit ini bukan kerana jangkitan HIV secara langsung. Kegagalan sistem daya tahan badan juga menyebabkan terjadinya beberapa jenis barah seperti Kaposi Sarcoma dan barah pangkal Rahim.
9.0 KOMPLIKASI HIV & AIDS
Oleh kerana pesakit AIDS telah mengalami kelumpuhan fungsi sistem imun, mereka lebih mudah jatuh sakit berbanding dengan mereka yang memiliki tindak balas imun yang sihat. Komplikasi-komplikasi yang mungkin berlaku ialah Pneumocystis carinii pneumonia (sejenis penyakit radang paru-paru), yang boleh membawa maut. Penyakit ini memusnahkan paru-paru pesakit AIDS, Cytomegalovirus retinitis merupakan penyakit mata berkaitan AIDS yang serius dan boleh menyebabkan buta, Sarkoma Kaposi merupakan kanser berkaitan AIDS yang menyebabkan ketumbuhan/tumor pada kulit. Ia berwarna merah jambu atau ungu dan AIDS wasting syndrome melibatkan penurunan berat badan yang ketara, cirit-birit yang kronik atau rasa lemah dan demam yang berpanjangan atau berkala selama sekurang-kurangnya 30 hari.
10.0 UJIAN PENGESANAN HIV & AIDS
Memandangkan masa inkubasi yang panjang ( 8 hingga 10 tahun ), adalah tidak praktikal menunggu tanda-tanda klinikal penyakit untuk mengesahkan seseorang itu dijangkiti kuman HIV atau tidak. Secara teori bila seseorang dijangkiti virus HIV, kesan tindakbalas tubuh terhadap penyakit berlaku. Tindakbalas ini boleh dikesan di makmal dengan melakukan pemeriksaan darah untuk mengesan antibodi terhadap virus HIV. Suatu teknik yang dinamakan Enzyme Link Immuno Assay (ELISA) digunakan. Pemeriksaan ini dijalankan dihampir seluruh dunia dan di semua pusat pengesanan HIV di seluruh Semenanjung Malaysia. Teknik ini sangat sensitif. Dengan menggunakan kaedah yang betul tahapnya ialah 99.99 peratus (Bermakna kaedah ini hanya gagal mengesan 1 kes bagi setiap 10,000 pesakit yang mempunyai kuman HIV).
Satu lagi ujian yang dijalankan dan juga mengesan kehadiran antibodi dinamakan Partical Agglutination (PA) digunakan. Cara ini didapati kurang sensitif daripada ELISA tetapi lebih spesifik. Ianya digunakan sebagai ujian kedua selepas sesuatu darah pesakit disahkan mempunyai antibodi dengan ujian ELISA.
Ujian Western Blot juga menggunakan kaedah pengesan kehadiran antibodi terhadap virus HIV. Ujian Western Blot (WB) hanya dijalankan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IPP) di Malaysia. Ini kerana ujian WB memerlukan peralatan yang khusus dan keputusan hanya boleh dibaca oleh orang yang mahir sahaja. Ujian WB pada asasnya dijalankan dengan mengesan kehadiran env protin virus HIV di dalam darah. Ujian WB digunakan sebagai ujian pengesahan kehadiran virus HIV.
Satu lagi ujian yang dijalankan ialah Polimerase Chain Reaction (PCR). Ujian
ini mengesan kehadiran virus HIV dengan melihat virus berkenaan dan bukan
antibodi terhadap virus seperti ketiga-tiga ujian diatas. Ujian PCR dijalankan
untuk kanak-kanak yang dilahirkan oleh ibu yang dijangkiti HIV untuk
mengesahkan kehadiran kuman HIV.
Secara umumnya seseorang pesakit akan menjalani ujian ELISA sebagai saringan pertama, ujian PA sebagai saringan kedua. JIKA kedua-dua ujian diatas reaktif (menunjukkan tindakbalas positif), darah baru akan diminta daripada pesakit. Ujian ELISA dan PA kali kedua akan dijalankan. Selepas doktor berpuas hati dengan semua keputusan ujian-ujian diatas, pesakit akan disahkan samada dijangkiti HIV atau tidak.
Memandangkan virus HIV sangat spesifik kepada manusia, ianya tidak dapat
dibiakkan di dalam tisu haiwan lain. Oleh itu pengesanan virus dengan
menggunakan kaedah haiwan yang disuntik oleh serum pesakit yang mungkin
dijangkiti virus tidak dijalankan. Walaupun begitu kaedah kultur tisu ada
digunakan di dalam penyelidikan. Sepasukan pakar dari Universiti Kyoto, Jepun dapat membiakan virus HIV di dalam monyet dengan melakukan sedikit perubahan struktur genetik virus berkenaan.
11.0 KEPUTUSAN UJIAN HIV & AIDS
Ujian HIV dapat mengenalpasti kewujudan antibodi di dalam darah, seawal 2
minggu selepas jangkitan, tetapi tubuh mungkin mengambil masa selama 6
bulan untuk mengeluarkan antibodi secukupnya. Purata masa yang diambil
ialah 25 hari.
Keputusan seropositif bagi ujian HIV ini membawa maksud antibodi HIV wujud di dalam salurandarah seseorang dan dia adalah HIV positif. Untuk mendapatpenyakit AIDS ia mungkin mengambil masa sehingga 10 tahun atau lebih.Rawatanmenggunakan dadah untuk melambatkan perkembangan AIDS boleh didapati, tetapi tidak boleh sembuh sepenuhnya.
Keputusan seronegatif biasanya menandakan bahawa anda tidak diijangkiti oleh HIV.Walau bagaimanapun, anda perlu diuji semula dalam masa 6 bulan jika anda berisiko tinggi untuk mendapat AIDS, kerana ia mengambil masa
begitu panjang untuk menghasilkan antibodi yang mencukupi.
Sesiapa yang menerima keputusan HIV perlulah mendapatkan kaunseling sebelum dan selepas ujian ini supaya mereka dapat memahami keputusan ujian, membincangkan kaedah pencegahan dan jika perlu, bincangkan pilihan
rawatan yang ada.
Seseorang itu disahkan sebagai pesakit AIDS apabila mereka memiliki ciri-ciri seperti ujian darah mereka disahkan mengandungi antibodi AIDS, mereka telah mempamerkan tanda-tanda dan gejala-gejala AIDS (sila lihat Gejala/Simptom), mereka telah mendapat komplikasi dari AIDS (sila lihat Komplikasi).Seseorang itu dianggap sebagai pembawa AIDS apabila ujian darah mereka didapati positif terhadap antibodi AIDS walaupun mereka belum menunjukkan sebarang gejala AIDS.
12.0 RAWATAN UNTUK PESAKIT HIV & AIDS
Tiada rawatan khusus untuk AIDS. Pengetahuan yang ada menunjukkan semua pesakit HIV akan berakhir dengan kematian.
Terdapat beberapa ubat yang dapat mengelakkan jangkitan oputunistik AIDS.
Ubat-ubat ini secara teorinya dapat memanjangkan jangka hayat pesakit AIDS. AZT adalah ubat yang mula-mula sekali dicuba terhadap pesakit AIDS. Secara teorinya AZT, sebagai penghalang enzim transcriptase, dapat menghalang virus HIV (sejenis virus DNA) menukarkan bahan genetik kepada DNA. Oleh itu ianya dapat menghalang pembiakan virus DNA. Maklumat yang ada sekarang menunjukkan AZT hanya dapat diberikan kepada orang tertentu sahaja. Mereka-mereka ialah yang mempunyai bilangan CD4+ kurang dari 400, ibu-ibu positif yang mengandung. Walaupun begitu AZT hanya didapati mempunyai kesan jangka pendik sahaja. Kesannya berkurangan semakin lama pesakit mengidap AIDS. Satu ujian klinikal mendapati pengambilan AZT dikalangan ibu mengandung dapat menggurangkan jangkitan HIV dari 30% ke 7%.
Rajah 6 Ubat memperlahankan virus HIV
Rajah 7 Ubat tahan sakit bagi pesakit AIDS
Rawatan Farmakologi ialah rawatan untuk HIV melibatkan pemusnahan kuman virus tersebut dan merawat simptom yang dialami oleh pesakit. Dadah-dadah berikut digunakan:
1. Dadah antiretrovirus
Dadah antiretrovirus menyerang dan memusnahkan retrovirus, termasuklah HIV. Dalam beberapa tahun ini, para penyelidik telah mencapai kemajuan besar dalam penghasilan pelbagai rawatan pilihan bagi AIDS/HIV ini. Sejak akhir tahun 1980'an, para profesional perubatan di Amerika Syarikat telah menggabungkan dadah antiretroviral ke dalam regimen rawatan yang dipreskripsikan kepada pesakit yang dijangkiti.
Kombinasi tiga atau lebih dadah antiretroviral, yang biasanya dipanggil 'dadah koktel', didapati berkesan dalam menurunkan paras jangkitan HIV dalam tubuh individu yang dijangkiti, dengan cara memperlahankan perebakan HIV.
2. Perencat Protease
HIV akan melalui proses replikasi dan menjangkiti sel-sel yang sihat di dalam tubuh pembawa HIV. Keseluruhan proses ini akan membawa kepada pembentukan AIDS. HIV memerlukan sejenis enzim yang dikenali sebagai protease untuk proses replikasi. Perencat protease menghalang enzim ini dengan berkesan dan seterusnya menyekat replikasi daripada berlaku.
3. Nucleoside Reverse Transcriptase Inhibitors (NRTI) dan Non-nucleoside Transcriptase Inhibitors (NNRTI)
Untuk HIV direplikakan (digandakan), enzimnya mestilah memasuki nukleus dalam sel seseorang pesakit. Satu enzim yang dikenali sebagai .HIV reverse transcriptase. membantu menggandakan bahan genetik HIV dalam nukleus sel pesakit tersebut. NRTI adalah penghalang enzim reverse transkriptase ini. Oleh itu, NRTI dapat melengahkan tindakan enzim HIV ini.
4. Gabungan dadah
Perencat protease, nukleosida dan bukan nukleosida menghalang fungsi-fungsi HIV yang berbeza. Dadah antiretrovirus jika diberi secara bersendirian, gagal untuk menghasilkan kesan yang berpanjangan. Oleh itu, dadah-dadah ini akan diberikan secara gabungan.
Rawatan bukan farmakologi pula bertindak sebagai rawatan pengurusan. Tujuan pengurusan adalah untuk memberikan khidmat perubatan yang terbaik kepada individu yang telah dijangkiti AIDS, bagi mengurangkan kadar kesengsaraan dan mengelakkan diskriminasi.
Perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan Malaysia terhadap individu yang dijangkiti HIV adalah disepadukan ke dalam perkhidmatan rawatan perubatan. Rawatan ini boleh didapati di semua hospital. Program ini dikelolakan oleh Bahagian Perubatan dan Cawangan AIDS/STD, Jabatan Kesihatan Awam (Public Health Department), Kementerian Kesihatan Malaysia . Rawatan, termasuklah kaunseling yang diberi kepada pesakit yang dijangkiti HIV dan pesakit AIDS untuk kedua-dua pesakit luar dan pesakit dalam wad. Kaunseling perlu diberikan sebelum dan selepas pesakit diuji untuk HIV
Kesemua pesakit yang dijangkiti HIV akan dirawat oleh pakar di hospital yang terdekat. Disebabkan implikasi jangkitan HIV/AIDS ini adalah serius, rujukan kepada doktor pakar yang berpengalaman adalah perlu sebelum sebarang diagnosis dipastikan. Tiada wad ataupun hospital yang khas untuk pesakit AIDS ataupun mereka yang disyaki HIV positif. Pemencilan pesakit AIDS hanya dilakukan atas sebab-sebab perubatan, contohnya sewaktu pesakit telah tenat.
Pesakit diberi jagaan perubatan sepenuhnya (termasuklah penggunaan Azidothymidine AZT) setelah disarankan oleh pakar yang menjalankan rawatan. Satu garis panduan mengenai penggunaan AZT telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia .
Kesemua individu yang dijangkit HIV perlu menghadiri rawatan lanjutan setiap 3 hingga 6 bulan Kesemua pesakit HIV akan diberikan kaunseling perubatan yang intensif oleh doktor.Kesemua pesakit akan diberitahu mengenai diagnosis serta dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga yang sesuai
Di samping terapi dadah, terdapat satu faktor lagi yang boleh menyumbang kearah kehidupan yang lebih panjang dan sihat untuk pesakit AIDS, iaitu pemakanan yang sihat. Makanan berkhasiat membantu pesakit AIDS mengekalkan kesihatan mereka dengan memberikan perlindungan daripada komplikasi jangkitan berkaitan HIV. Pengambilan makanan berkalori tinggi bersama protein dan karbohidrat yang cukup, boleh mempertahankan diri dari kekurangan zat makanan, malserapan nutrien, penurunan sistem imun dan susut badan. Pemakanan yang baik akan membantu mengurangkan kesan buruk dadah dan juga meningkatkan kebolehan tubuh untuk menyerap ubat-ubatan tertentu.
13.0 VAKSIN PENYAKIT HIV &AIDS
Maklumat yang ada menunjukkan vaksin AIDS berada diperingkat 'clinical trial' ( maklumat terakhir pada akhir 1995).Beberapa masalah besar berkenaan vaksin AIDS ialah isu etikal. Adalah tidak etikal secara perubatan memberikan satu vaksin yang masih belum diketahui kesannya kepada seseorang dan seterusnya mendedahkan orang berkenaan kepada penyakit merbahaya yang masih belum ada ubatnya (iaitu AIDS).
Masalah kedua ialah virus HIV itu sendiri. Adalah diketahui dengan jelas sekarang bahawa terdapat beberapa jenis virus HIV. Di samping terdapat 2 kumpulan besar iaitu HIV-1 dan HIV-2, terdapat perbezaan susunan struktur genetik dikalangan HIV-1 sendiri (setiap ahli didalam kumpulan berbeza dinamakan clad ). Oleh itu virus HIV yang menyebabkan AIDS di Amerika tidak serupa dengan di Asia yang juga tidak sama dengan di Afrika. Oleh itu vaksin HIV hendaklah di bentuk untuk setiap clad yang berbeza ini.
Masalah ketiga ialah dari segi calon. Sebagai sifat biologinya, vaksin digunakan untuk mencegah jangkitan. Oleh itu calon vaksin HIV adalah mereka-mereka di dalam golongan berisiko tinggi seperti penagih dadah secara suntikan, pelacur (dan pelanggannya) dan pengamal homoseks. Soalannya bilakan vaksin patut diberikan kepada golongan ini. Memandangkan golongan ini dianggap sebagai antisosial di sesetengah negara (juga di Malaysia), apakah pemberian vaksin kepada golongan
ini tidak disalah anggap sebagai menggalakkan kejadian antisosial.
14.0 PEMANTAUAN PENYAKIT HIV & AIDS
Jika anda rasakan anda berisiko untuk dijangkiti HIV, anda dinasihatkan supaya memantau kehadiran HIV di dalam darah anda. Ujian-ujian berikut dapat mengenalpasti kewujudan antibodi HIV di dalam darah. Antibodi terhadap HIV akan terhasil secara semulajadinya apabila virus tersebut memasuki tubuh. Beberapa jenis ujian HIV yang boleh dilakukan ialah ujian darah antibody. Ujian darah antibodi dilaksanakan untuk mengesan antibodi terhadap HIV di dalam darah. Ujian saringan yang paling biasa dijalankan ialah EIA (imunoasai enzim) dan ELISA (Enzyme-linked Immunosorbent Assay).
Ujian yang kedua ialah Ujian Oral HIV. Ujian oral ini dijalankan menggunakan contoh mukus daripada bahagian dalam pipi dan gusi, bukan menggunakan darah. Ujian ini telah diluluskan oleh FDA (Food & Drug Administration - USA) dan ia adalah tepat seperti juga ujian darah.
Di Malaysia, ujian WB (untuk penagih dadah yang tidak menggunakan cara suntikan) atau ujian "particle agglutriotion (untuk penagih dadah yang menggunakan suntikan) selalunya dijalankan untuk mengesahkan jangkitan HIV.
15.0 PENCEGAHAN DARI PENYAKIT HIV & AIDS
Memandangkan tiada ubat atau rawatan yang dapat menyembuhkan HIV/ AIDS setakat ini, maka langkah-langkah pencegahan adalah satu cara yang terbaik bagi mengawal jangkitan HIV/AIDS ini. Mengambil langkah-langkah pencegahan awal adalah langkah bijak dalam usaha mencegah HIV/AIDS. Antara langkah-langkah pencegahan awal ialah :
• Menghindari seks di luar perkahwinan.
• Elakkan hubungan seks dengan mereka yang tidak dikenal pasti latar belakangnya.
• Elakkan hubungan seks dengan berbilang pasangan.
• Menggunakan kondom jika isteri atau suami telah dijangkiti.
• Jangan melakukan hubungan seks sejenis.
• Jangan berkongsi peralatan peribadi seperti pisau cukur, berus gigi dan lain-lain peralatan yang boleh dicemari oleh darah
• Jangan menderma darah atau organ badan jika anda dijangkiti.
• Jangan menagih dadah.
• Hindari dari perkongsian jarum dan alat suntikan.
• Elakkan diri daripada bercukur di kedai gunting rambut atau pendandan rambut di mana anda terpaksa berkongsi pisau cukur atau gunakan pisau cukur pakai buang.
• Bagi ibu-ibu yang dijangkiti elakkan dari mengandung.
• Sebagai langkah asas berilah didikan ugama dan moral kepada anak- anak supaya dapat membentuk satu tingkah laku yang positif dan mengelakkan tingkah laku yang berisiko tinggi.
Rajah 8 Kondom bagi wanita
Rajah 9 Variasi kondom di pasaran
Selain itu, anda dinasihatkan mengamalkan seks selamat. Seks selamat adalah hubungan seks di mana air mazi, air mani atau darah tidak masuk ke dalam badan orang lain. Seks selamat adalah hubungan seks menggunakan kondom lateks dan pelincir berasaskan air seperti gel K-Y. Di samping itu, seks selamat adalah perlakuan seks seperti bersentuhan atau melancap di mana kedua-dua pihak tidak mempunyai luka atau ruam pada tangan mereka.
Cara-cara ini dipanggil "seks selamat" kerana ianya meminimumkan risiko jangkitan, tetapi tidak menghapuskan jangkitan sama sekali. Aktiviti seksual akan sentiasa mempunyai risiko terutama jika salah seorang pasangan adalah positif-HIV. Seks selamat juga boleh mencegah jangkitan penyakit kelamin yang boleh meninggikan risiko jangkitan HIV. Penyakit-penyakit kelamin memudahkan HIV menjangkiti sel-sel badan.
Jika anda didapati HIV Positif pula anda akan diberikan rawatan yang perlu beserta kaunseling perubatan mengenai AIDS dan cara-cara untuk menjaga kesihatan dan bagaimana untuk mencegah penyebaran penyakit ini kepada orang lain.
Langkah keselamatan untuk pesakit AIDS ialah :
• Simpan nombor-nombor telefon yang penting
• Pastikan rumah anda adalah selamat
• Pastikan peralatan peribadi yang penting boleh didapati dengan mudah seperti sarung tangan pakai-buang, tuala wanita dan lampin
• Anda tidak boleh menderma darah
• Amalkan pemakanan yang sihat
• Lindungi diri anda dari sebarang penyakit, contohnya elakkan dari berada berdekatan dengan orang yang sakit, pakai perlindungan muka (topeng) sewaktu melawat orang sakit, elakkan dari mendapat luka.
• Anda mesti menggunakan kondom sewaktu melakukan hubungan seks untuk melindungi pasangan anda daripada dijangkiti AIDS
• Jika anda adalah penagih dadah, hentikan tabiat ini. Jangan menyuntik dadah atau berkongsi jarum dengan penagih dadah yang lain.
• Wanita yang dijangkiti AIDS perlu mengelakkan diri daripada hamil kerana mereka boleh memindahkan virus ini kepada bayi-bayi yang dikandung .
16.0 KAJIAN MENGENAI HIV & AIDS
Program Sihat Tanpa AIDS untuk Remaja atau PROSTAR direncanakan berdasarkan kepada beberapa hasil kajian yang mendapati terdapat masalah dan kerumitan yang perlu diatasi dalam kalangan remaja. Senario sebegini mendorong beberapa kajian yang lebih mendalam dijalankan supaya dapat mengenalpasti apakah faktor-faktor yang memungkin remaja seringkali terlibat dengan aktiviti-aktiviti yang menyumbang kepada jangkitan HIV/AIDS.
Statistik HIV/AIDS dari KKM menunjukkan lebih 36% daripada mereka yang dijangkiti HIV terdiri dari golongan remaja dan belia yang berumur di bawah 29 tahun.
Kajian tingkahlaku lepak dalam kalangan remaja(1994), mendapati 18% daripada 6,110 responden remaja mempunyai pengalaman melakukan seks bebas.Kajian Remaja dan AIDS (1996) dikalangan 4,347 orang remaja awam yang berumur 13-25 tahun pula mendapati 6% pernah melalukan sek bebas dan 5% pernah terlibat dengan penagihan dadah. Statistik dari Agensi Dadah Kebangsaan didapati 20,500 (55%) penagih dadah yang dikenalpasti pada tahun 1998 adalah dikalangan golongan umur dibawah 29 tahun
16.1 Kajian ‘ Remaja dan AIDS’ (Nilai, Personaliti & Tingkahlaku)
Kementerian Kesihatan Malaysia, 1996
Kajian ini telah dilaksanakan pada tahun 1996 keatas 4347 remaja (termasuk 885 remaja yang sedang menjalani pemulihan di pusat-pusat Serenti. Kajian ini menyingkap pengetahuan remaja tentang AIDS, nilai, personaliti dan beberapa tingkahlaku yang memungkinkan mereka terdedah kepada HIV
Pengenalan
Kajian terokaan ini bertujuan untuk meninjau beberapa aspek kehidupan remaja yang dijangka mempunyai hubungkait dengan gejala AIDS yang sedang merebak dengan cepat bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh dunia. WHO menganggarkan bahawa dalam tahun 2000 akan terdapat 40 juta orang yang akan dijangkiti HIV dan 12 juta akan mati akibat penyakit AIDS. Di Malaysia pula, sehingga Mac 1996, terdapat 15,471 orang yang telah dijangkiti HIV dan 388 disahkan mengidap penyakit AIDS.
Oleh kerana masih belum ada penawar untuk AIDS, usaha terbaik untuk menangani penyakit ini adalah melalui usaha pencegahan. Di antara usaha pencegahan yang dilakukan adalah mendidik orang ramai tentang AIDS. Mesej pendidikan AIDS sama ada di dalam atau di luar negara sekarang ini banyak tertumpu kepada gaya tingkah laku seksual seperti menggunakan kondom, melakukan hubungan seks yang selamat, mengelakkan bertukar-tukar pasangan seks, atau mengelak daripada mengunjungi pekerja seks. Mesej pendidikan AIDS juga memberi tumpuan kepada mengelakkan perkongsian jarum suntikan di kalangan penagih dadah, juga menggalakkan penggunaan jarum suntikan yang bersih, atau pun menyediakan kemudahan mendapatkan jarum suntikan yang bersih.
Kajian ini berpendapat bahawa usaha pencapaian yang lebih sesuai dilaksanakan adalah dengan mengenalpasti faktor-faktor yang menjadi punca dan pendorong kepada individu yang akhirnya membuatkan mereka terjebak dengan penyakit AIDS. Dengan itu pendekatan kajian ini adalah untuk meninjau sejauh mana perkara-perkara yang berkaitan dengan peribadi remaja seperti pengetahuan, nilai dan personaliti remaja yang diramal akan menjadi penyumbang terhadap tingkah laku remaja yang memungkinkan mereka terjebak dengan jangkitan AIDS. Penyakit AIDS ini pula diandaikan sebagai satu kesinambungan tingkah laku yang mempunyai kaitan rapat dengan merokok, mengambil dadah dan eksperimentasi dengan hubungan seks sebelum kahwin.
Maklumat tentang perkara-perkara di atas diharapkan akan dapat digunakan bagi membentuk satu strategi pendidikan AIDS yang berlainan dengan pendekatan konventional. Usaha pendidikan AIDS yang akan dicadangkan lebih tertumpu kepada pembentukan nilai keperibadian, dan kemujaraban dan ketahanan diri remaja yang akhirnya akan menjadi benteng yang kukuh untuk menangani jangkitan wabak AIDS di Malaysia.
Responden Kajian
Sejumlah 4,347 remaja daripada pelbagai kaum yang berumur antara 13 – 25 tahun telah ditemubual. Kajian lapangan selama 2 bulan antara 15 Mac hingga 15 Mei 1996 telah dijalankan di seluruh negara. Dua golongan remaja telah dipilih untuk kajian ini iaitu 3,462 remaja yang masih bersekolah dan telah bekerja (remaja awam), dan seramai 885 remaja yang sedang menjalani pemulihan diu pusat serenti (remaja pelatih). Remaja pelatih bertindak sebagai kumpulan kawalan untuk melihat perbezaan pengetahuan, nilai, personaliti dan tingkah laku remaja yang dikaji.
Untuk mempastikan pemilihan remaja mewakili taburan remaja sebenar, usaha telah dibuat untuk memilih remaja dariapda pelabagai lapisan umur, pendapatan keluarga, jantina, dan juga kumpulan etnik yang terdapat di negara ini. Kawasan tempat tinggal juga diberikan perhatian agar tempat-tempat tinggal di bandar, pinggir bandar, luar bandar, kawasan rancangan pembangunan tanah, kawasan sempadan, dan kawasan setinggan diberikan perhatian.
Hasil Kajian
Fokus hasil kajian ini adalah kepada empat tingkah laku remaja yang dianggap boleh menyumbang kepada jangkitan AIDS. Tingkah laku tersebut adalah merokok, mengambil dadah, melakukan hubungan seks sebelum kahwin, dan gaya hidup yang tidak sihat yang boleh menghampiri AIDS. Merokok dan mengambil dadah dihubungkaitkan dalam kajian ini kerana sebahagian besar jangkitan AIDS di negara ini adalah berpunca daripada perkongsian jarum suntikan di kalangan penagih dadah. Merokok pula ada kaitannya dengan AIDS kerana remaja yang mengambil dadah lazimnya bermula dengan menghisap rokok.
Tingkah Laku Remaja
Di kalangan remaja awam peratusan yang pernah mencuba dan kerap mengambil dadah adalah rendah iaitu di sekitar 5 peratus sahaja berbanding dengan 95 peratus remaja pelatih. Bila dilihat kepada tingkah laku merokok pula, 34 peratus remaja awam pernah merokok sementara sejumlah 99 peratus remaja pelatih pernah merokok.
Kajian ini juga mendapati dengan jelas hubungan positif yang signifikan antara merokok dengan mengambil dadah (r = .27 di kalangan remaja awam dan r = .32 di kalangan remaja pelatih). Keputusan ujian korelasi ini membawa maksud bahawa remaja yang kerap menghisap rokok juga mempunyai kecenderungan yang kerap untuk menghisap dadah. Pengaruh ini lebih kuat di kalangan remaja pelatih berbanding dengan remaja awam.
Berhubung dengan tingkah laku hubungan seks sebelum kahwin pula, 6 peratus daripada remaja awam mengaku pernah atau kerap melakukannya. Peratusan di kalangan di kalangan remaja pelatih adalah lebih tinggi iaitu 54 peratus. Apabila diselidik adalah gaya hidup mereka akan memudahkan mereka dijangkati AIDS, 45 peratus remaja pelatih dan 32 peratus remaja awam mengakui bahawa gaya hidup mereka akan memudahkan mereka dijangkati AIDS.
Ujian korelasi yang dilakukan dalam kajian ini menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang signifikan antar tingkah laku seks sebelum kahwin denga gaya hidup yang mudah dijangkati AIDS. (r = .18 di kalangan remaja pelatih dan r = .12 di kalangan remaja awam. Penemuan ini membawa maksud bahawa remaja yang kerap melakukan hubungan seks sebelum kahwin mempunyai kecenderungan bergaya hidup yang tidak sihat sehingga memungkinkan mereka dijangkati AIDS.
Selain daripada itu, ujian korelasi jyga menunjukkan bahawa terdapat hubungan yang positif antara tingkah laku mengambil dadah dengan tingkah laku hunungan seks sebelum kahwin (r = .19 di klaangan remaja pelatih dan r = .23 di kalangan awam). Ini menunjukkan bahwa remaja yang kuat menagih dadah juga berkemungkinan kerap melakukan hubungan seks sebelum kahwin. Mengambil dadah juga didapati menyumbang secara positif ke arah bergaya hidup yang boleh dijankiti AIDS (r = .14 di kalangan pelatih dan r = .09 di kalangan remaja awam).
Selaras dengan huraian penemuan yang dinyatakan di atas, terbuktilah bahawa antara empat tingkah laku yang menjadi fokus kajian ini mempunyai hubung kait. Tingkah laku merokok menyumbang ke arah tingkah laku mengambil dadah. Begitu juga tingkah laku mengambil dadah menyumbang ke arah kecenderungan melakukan hubungan seks sebelum kahwin dan juga bergaya hidup yang tidak sihat yang memungkinkan jangkitan AIDS. Sama ada pengaruh tngkah laku itu besar atau kecil ia tidak seharusnya menjadi persoalan, kerana telah terbukti bahawa ia menyumbang secara signifikan kepada fenomena AIDS.
Pendedahan Media dan Pengetahuan AIDS
Pendedahan media untuk mendapatkan maklumat AIDS adalah sederhana (purata sktor pendedahan 18.5 berbanding dengan skor maksima 27). Begitu juga dengan pengetahuan remaja tentang AIDS. Secara umum remaja lebih berpengetahuan tentang punca jangkitan AIDS (skor pengetahuan 2.0 untuk remaja awam dan 1.6 untuk remaja pelatih, daripada skor maksimum 3). Pengetahuan tentang pencegahan jangkitan AIDS adalah lebih rendah (skor pengetahuan 1.6 untuk remaja awam dan 1.5 untuk remaja pelatih daripada skor maksimum 3).
Jika dilihat daripada sudut pendidikan, didapati remaja yang berpendidikan rendah adalah golongan yang mempunyai pengetahuan AIDS yang paling rendah. Pengetahuan tentang AIDS meningkat selaras dengan peningkatan umur remaja yang dikaji.
Maklumat yang sering remaja perolehi melalui sumber maklumat adalah AIDS membawa maut, AIDS merbahaya, AIDS sukar diubati, cara jangkitan AIDS, dan cara mencegah AIDS. Maklumat utama tentang AIDS yang diperolehi ini secara langsung mempengeruhi tanggapan remaja terhadap AIDS. Apabila diselidik tentang anggapan mereka majoriti daripada remaja menyatakan AIDS adalah kematian, AIDS adalah penyakit yang tidak ada penawar, AIDS penyakit merbahaya dan perasaan takut.
Berhubung dengan apakah maklumat tentang AIDS yang paling remaja diperlukan, keputusan kajian ini mendapati dua maklumat utama yang dinyatakan iaitu pertamanya maklumat tentang cara pencegahan dan keduanya maklumat bagaimana AIDS boleh dijangkati. Remaja menyatakan maklumat tersebut penting untuk diperolehi kerana ia akan membuatkan mereka lebih berhati-hati di masa hadapan. Di samping itu mereka juga menyatakan bahawa maklumat tersebut berguna kepada meraka kerana mereka percaya bahawa ia dapat membantu menjauhkan diri daripada jangkitan AIDS.
Kajian ini menunjukkan bahawa remaja menerima banyak maklumat tentang AIDS melalui media massa seperti televisyen, akhbar, dan risalah/poster/pameran. Apabila diselidik apakah maklumat lanjut yang mereka perlukan tentang AIDS, dan apakah sumber maklumat yang akan mereka rujuk, majoriti mereka mengatakan mereka akan merujuk kepada doktor dan kakitangan hospital, guru dan ibu bapa atau risalah/poster/pameran. Jelas kelihatan bahawa sumber yang digunakan untuk mendapatkan maklumat AIDS adalah berbaza dengan sumber maklumat AIDS yang ingin dirujuk oleh remaja.
Persoalan kenapakah sumber peribadi lebih diutamakan oleh remaja untuk mendapatkan maklumat lanjut tentang AIDS? Kajian ini mendapati bahawa ciri-ciri sumber yang arif dan berpengalaman, maklumat yang lengkap, dan maklumat yang mudah diperolehi adalah antara kriteria untama yang diberikan perhatian apabila merujuk untuk mendapatkan maklumat tentang AIDS.
Kajian ini juga meninjau sejauh mana remaja terlihat dalam aktiviti tentang pendidikan AIDS yang dijalankan di negara ini. Hanya 22 peratus remaja awam dan 25 peratus remaja pelatih yang mengatakan mereka pernah terlibat. Keterlibatan mereka sekadar mendengar ceramah tentang AIDS, mengambil bahagian dalam acara sukan dan kempen AIDS, memberi nasihat kepada orang lain, menampal poster, dan juga menyertai peraduan menulis esei.
Satu perkara yang mungkin di luar dugaan kepada pengamal pendidikan AIDS ialah pengetahuan tentang AIDS tidak banyak membantu perubahan tingkah laku. Kajian ini menunjukkan bahawa pengetahuan tentang AIDS tidak mempengaruhi untuk mengurangkan tingkal laku negatif yang boleh menyebabkan remaja terjebak dengan jangkitan AIDS.
Nilai Remaja
Kajian ini mengandaikan nilai remaja secara langsung atau tidak langsung akan mempengaruhi tingkah laku remaja. Aras nilai remaja terhadap kekurangan, pendidikan, keagamaan, dan melepak telah dikaji. Seperti yang telah diramalkan, remaja yang terlibat dengan menghisap rokok, mengambil dadah, melakukan hubungan seks sebelum kahwin, dan bergaya hidup yang memungkinkan jangkitan AIDS menunjukkan aras nilai yang secara relatifnya rendah daripada mereka yang terlibat. Atas nilai melepak pula adalah tinggi di kalangan remaja yang terlibat dengan tingkah laku tersebut.
Nilai kekurangan yang tertinggi adalah di kalangan remaja awam berumur 13 – 16 tahun. Nilai terendah adalah di kalangan remaja pelatih yang juga berumur 13 – 16 tahun. Jika dilihat daripada sudut pendidikan dan pendapatan keluarga, remaja pelatih yang berpendidikan rendah dan datang daripada keluarga berpendapatan lehin RM1,000 mempunyai nilai kekeluargaan yang paling rendah.
Dari segi nilai pendidikan pula, remaja pelatih menunjukkan nilai yang secara relatifnya rendah. Ini menunjukkan remaja awam mempunyai nilai pendidikan yang lebih tinggi. Nilai pendidikan tertinggi adalah kalangan remaja awam berumur 13 – 16 tahun. Remaja pelatih berumur 17 –21 tahun mempunyai nilai pendidikan yang terendah.
Dari segi nilai keagamaan, remaja pelatih yang terlibat dengan dadah menunjukkan nilai yang rendah berbandingdengan remaja awam. Keputusan ini jelas membuktikan bahawa pendidikan mempengaruhi nilai keagamaan terendah adalah di kalangan remaja pelatih yang berpendidikan sekolah rendah sahaja. Nilai keagamaan juga meningkatkan selaras dengan umur seseorang remaja.
Remaja sering dikaitkan dengan melepak iaitu berpeleseran di tempat-tempat awam tanpa tujuan tertentu. Keputusan menunjukkkan remaja awam kurang melepak berbanding dengan remaja pelatih. Pusat karoke/pub/disko, tempat permainan video dan snooker, dan pusat membeli-belah adalah tempat yang kerap dikunjungi oleh remaja. Semakin meningkat umur remaja, mereka lebih banyak melepak. Dari segi pendidikan dan pendapatan keluarga pula, kumpulan yang paling tinggi melepak adalah remaja pelatih yang berkelulusan STPM ke atas tetapi datangnya daripada keluarga berpendapatan kurang daripada RM500.
Ujian korelasi menunjukkan hubungan nilai kekeluargaan, pendidikan dan keagamaan mempunyai hubungan yang negatif dengan beberapa tingkah laku yang dikaji. Di antaranya remaja yang menunjukkan nilai pendidikan yang tinggi adalah remaja yang kurang merokok (r = -.20 untuk remaja awam dan r = -.04 untuk remaja pelatih), mengambil dadah (r = -.11 untuk remaja awam dan r = -.06 untuk remaja pelatih), hubungan seks sebelum kahwin (r = -.16 untuk remaja awam dan r = -.09 untuk remaja pelatih) dan gaya hidup yang boleh dijangkiti AIDS (r = -.05 untuk remaja awam dan remaja pelatih). Ujian korelasi antara nilai keagamaan dan kekeluargaan juga menunjukkan trend yang sama.
Kajian ini mendapat bahawa remaja awam yang banyak melepak mempunyai kecenderungan untuk melakukan tingkah laku negatif. Dengan kata lain, lebih banyak remaja awam melepak maka lebih kerap mereka akan menghisap rokok (r =.39 untuk remaja awam dan remaja pelatih), mengambil dadah (r = .20 untuk remaja awam dan r = .09 untuk remaja pelatih), melakukan hubungan seks sebelum kahwin (r = .31 untuk remaja awam dan r = .18 untuk remaja pelatih), dan bergaya hidup yang boleh dijangkiti AIDS (r = .07 untuk remaja awam dan r = .06 untuk remaja pelatih).
Personaliti Remaja
Sebanyak 6 jenis personaliti remaja diukur dalam kajian ini aiitu tekanan dan kemurungan, orientasi pencapaian, penghargaan kendiri, asertif, autonomi dan mengambil risiko. SSecara keseluruhannya, remaja awam menunjukkan personaliti yang lebih positif berbanding remaja pelatih.
Kajian ini menunjukkan bahawa remaja awam mempunyai ciri personaliti yang lebih baik dalam aspek orientasi pencapaian, penghargaan kendiri, asertif dan autonomi di samping kurang menghadapi tekanan dan kemurungan. Remaja pelatih pula memperlihatkan mereka lebih banyak menghadapi tekanan dan kemurungan di samping lebih mahukan sesuatu yang mencabar dan berisiko.
Faktor pendidikan dan pendapatan keluarga didapati mempunyai pengaruh terhadap personaliti remaja. Secara keseluruhannya, remaja yang mempunyai latar pendidikan sekolah rendah umumnya mempunyai ciri personaliti yang relatif yang rendah berbanding dengan remaja yang mempunyai latar pendidikan yang lebih tinggi. Begitu juga apabila dilihat berdasarkan pendapatan keluarga, remaja yang datang daripada keluarga yang berpendapatan yang lebih tinggi lebih baik personalitinya. Pola ini konsisten bagi kedua-dua kumpulan remaja awam dan remaja pelatih bagi kesemua ciri personaliti yang dikaji, kecuali tekanan dan kemurungan. Bagi tekanan dan kemurungan remaja yang datangnya dari keluarga berpendapatan tinggi menghadapi tekanan hidup yang lebih tinggi berbanding dengan remaja yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah.
Ujian korelasi yang diperolehi menunjukkan personaliti remaja mempengaruhi tindakan mereka terhadap tingkah laku negatif. Empat daripada enam ciri personaliti remaja yang dikaji iaitu orientasi pencapaian, penghargaan kendiri, asertif dan autonomi secara keseluruhannya mempunyai hubungan yang negatif dengan tingkah laku merokok, menagih dadah, melakukan hubungan seks sebelum kahwin dan bergaya hidup yang boleh dijangkiti AIDS. Ini bermakna bahawa semakin tinggi ciri-ciri personaliti ini wujud dalam diri remaja, maka semakin rendah tendensi mereka untuk terlibat dengan tingkah laku negatif. Berbeza dengan dua ciri personaliti yang lain, tekanan dan kemurungan serta mengambil risiko, kedua-dua ciri personaliti ini menunjukkan hubungan yang positif dengan tingkah laku negatif.
Keputusan ini menunjukkan bahawa lebih tinggi tekanan dan kemurungan yang dialami oleh remaja, maka lebih kerap mereka akan menghisap rokok (r = .13 untuk remaja awam; r = .05 untuk remaja pelatih), mengambil dadah (r = .10 untuk remaja awam; r = .04 untuk remaja pelatih), melakukan hubungan seks sebelum kahwin (r = .12 untuk remaja awam; r = .13 untuk remaja pelatih), dan bergaya hidup yang boleh dijangkiti AIDS (r = .08 untuk remaja awam; r = .07 untuk remaja pelatih). Begitu juga dengan personaliti mengambil risiko, lebih tinggi keinginan remaja kepada sesuatu yang berisiko, maka lebih bertendensi mereka untuk terlibat dengan empat tingkah laku negatif yang dikaji. Pola ini adalah konsisten bagi kedua-dua kumpulan remaja awam dan remaja pelatih.
Hubungan Sosial
Kajian ini mendapati bahawa secara keseluruhannya tidak wujud perbezaan yang ketara dari segi hubungan dengan ibu bapa di kalangan remaja awam dan remaja pelatih. Namun hubungan dengan ibu bapa yang rendah didapati mempunyai pengaruh terhadap tingkah laku yang negatif. Remaja yang dikenalpasti terlibat dengan tingkah laku merokok, mengambil dadah, melakukan hubungan seks sebelum kahwin dan bergaya hidup yang boleh dijangkiti AIDS mempunyai hubungan yang rendah dengan ibu bapa mereka berbanding dengan remaja yang tidak terlibat. Pola ini adalah konsisten antara remaja awam dan remaja pelatih.
Hubungan dengan ibu bapa yang paling tinggi didapati wujud dalam kalangan remaja awam yang berumur 13 – 16 tahun. Jika dilihat daripada sudut pendidikan dan pendapatan keluarga, faktor kelulusan akademik kurang memberi pengaruh terhadap hubungan dengan ibubapa. Sebaliknya, faktor pendapatan keluarga memberi pengaruh di mana pendapatan keluarga yang tinggi (>RM1000), hubungan remaja dengan ibu bapa adalah lebih rendah berbanding dengan remaja yang datang dari keluarga berpendapatan rendah (
Dari segi hubungan dengan rakan sebaya pula, didapati remaja pelatih mempunyai jaringan hubungan dengan rakan sebaya yang lebih tinggi berbanding remaja awam. Kajian ini menunjukkan bahawa kumpulan remaja yang terlibat dengan tingkah laku negatif mempunyai hubungan dengan rakan sebaya yang lebih tinggi berbanding dengan remaja yang tidak pernah terlibat.
Jaringan hubungan dengan rakan sebaya didapati paling tinggi di kalangan remaja pelatih yang berumur 17 21 tahun, manakala yang paling rendah adalah di kalangan remaja awam yang berumur 13 – 16 tahun. Jika dilihat berdasarkan faktor pendidikan dan pendapatan keluarga, hubungan dengan rakan sebaya yang paling tinggi adalah di kalangan remaja pelatih yang berkelulusan tinggi (SYPM ke atas) dan datang dari keluarga berpendapatan tinggi (>RM1000).
Ujian korelasi yang diperolehi dalam kajian ini menunjukkan bahawa hubungan dengan ibu bapa mempunyi korelasi negatif yang signifikan dengan tingkah laku yang negatif. Ini memberi maksud bahawa semakin baik hubungan remaja dengan ibu bapa mereka, maka semakin kurang kecenderungan mereka untuk terlibat dengan tingkah laku merokok (r = -.14 untuk remaja awam; r = -.09 untuk remaja pelatih), mengambil dadah (r = -.09 untuk emaja awam; r = -.06 untuk remaja pelatih), melakukan hubungan seks sebelum kahwin (r = -.14 untuk remaja awam; r = -.12 untuk remaja pelatih), dan bergaya hidup yang boleh dijangkiti AIDS (r = -.11 untuk remaja awam; r = -.09 untuk remaja pelatih).Dengan konteks hubungan dengan rakan sebaya pula, keputusan menunjukkan korelasi yang positif dengan tingkah laku negatif. Dengan kata lain, semakin tinggi jaringan hubungan sosial dengan rakan sebaya, semakin bertendensi remaja untuk terlibat dengan tingkah laku negatif. Pola hubungan ini hanya wujud di kalangan remaja awam. Sebaiknya bagi remaja pelatih pula, hubungan rapat dengan rakan sebaya membantu mengurangkan tingkah laku mengambil dadah (r = -.60) dan melakukan hubungan seks sebelum kahwin (r = -.09).
Implikasi Kajian
Huraian di atas membawa kita kepada satu dimensi baru untuk melihat isu AIDS di Malaysia. Selama ini kebanyakkan mesej pendidikan AIDS terlalu menumpukan kepada isu pencegahan yang mempunyai kaitan langsung dengan penyakit AIDS seperti yang berkaitan dengan tingkahlaku seksual dan penyalahgunaan dadah.
Kajian ini telah menerokai punca-punca yang mungkin membabitkan remaja dengan beberapa tingkah laku yang ada hubungkait dengan jangkitan AIDS. Selaras dengan itu usaha pencegahan dalam pendidikan AIDS perlu juga memberikan perhatian yang lebih kepada punca-punca yang boleh mendorong remaja melakukan tingkah laku yang akan memungkinkan mereka dijangkiti AIDS. Punca-punca tersebut berkaitan dengan nilai, personaliti, dan juga hubungan sosial remaja. Begitu juga aspek persekitaran remaja juga perlu ditangani agar faktor-faktor persekitaran yang tidak sesuai yang mempengaruhi nilai dan personaliti, dan hubungan sososial remaja dapat dipertingkatkan lagi.
Kajian ini juga mendapati bahawa pendedahhan remaja kepada maklumat AIDS tidak semestinya meningkatkan kesedaran di kalangan remaja tentang AIDS. Perhatian juga perlu diberikan kepada medium yang membawa maklumat pendidikan AIDS. Perlukah cara pendekatan sekarang yang dipertanggungjawabkan kepada kerajaan dan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) diteruskan. Bagaimana pula keterlibatan masyarakat dalam usaha pendidikan AIDS ini. Maklumat pendidikan AIDS mungkin tidak dapat memberikan kesan yang mendalam jika usaha pendidikan itu tidak dilakukan secara sistematik dan berterusan. Dengan melibatkan masyarakat dalam usaha pendidikan ini diandaikan maklumat pendidikan AIDS akan dapat memberikan kesan yang lebih bermakna.
Berdasarkan huraian di atas, kajian ini mengemukakan beberapa cadangan:
Strategi komunikasi dalam pendidikan AIDS yang beralih daripada tertumpu kepada media massa kepada sumber antara peribadi yang lebih berkredibiliti. Maklumat melalui media hanya dapat membantu memberikan kesedaran tetapi kurang dapat menerapkan pengetahuan yang mendalam dan seterusnya membawa perubahan sikap, nilai dan tingkah laku. Selain itu, pendekatan komunikasi juga beralih daripada kerajaan dan NGO kepada masyarakat sebagai community participation program.
Maklumat pendidikan AIDS juga perlu berusaha menerapkan nilai (seperti nilai keagamaan, kekeluargaan, dan pendidikan) dan personaliti (seperti asertif, orientasi pencapaian, penghargaan kendiri) positif di kalangan remaja. Maklumat sedemikian tidak harus dianggap sebagai maklumat sampingan tetapi sebagai maklumat utama kerana nilai dan personaliti yang tidak dipupuk dengan baik akan menjadi pendorong kepada tingkah laku negatif yang memungkinkan jangkitan AIDS.
Beberapa pendekatan dasar perlu diberikan perhatian. Remaja yang banyak berpeleseran dan melepak didapati banyak terbabit dengan tingkah laku negatif. Usaha perlu dibuat untuk menggalakkan majikan terlibat sama dalam pembentukan gaya hidup positif dengan mengadakan kemudahan rekreasi selepas waktu kerja. Begitu juga kemudahan rekreasi seperti premis permainan video dan snooker yang semakin menjadi tumpuan remaja dikawal pertumbuhan dan syarat-syarat kemasukan ke premis berkenaan.
17.0 MITOS DAN BENAR TENTANG HIV & AIDS
Yang Benar
1. Penggunaan kondom dengan betul adalah yang terbaik dalam menghalang jangkitan HIV semasa hubungan seks kerana ia diperbuat dari lateks/getah.
2. Kondom juga boleh melindungi mulut, faraj, dubur dan zakar dari air mazi, air mani dan darah yang mengandungi HIV serta penyakit- penyakit kelamin lain.
3. Jangan biarkan alkohol/dadah atau pasangan yang menarik mengalih perhatian anda daripada amalan seks selamat.
4. Seks selamat adalah salah satu cara untuk menghalang jangkitan HIV.
5. Anda boleh dijangkiti HIV jika melakukan seks tidak selamat.
6. Masih tiada penawar untuk HIV/AIDS tetapi terdapat ubat anti HIV dalam pasaran yang boleh memperlahankan kemaraan penyakit ini.
7. Anda tidak boleh dijangkiti HIV dengan berpelukan, berjabat tangan, bersentuhan, melancap dan berciuman.
MITOS BENAR
1. Pil pencegah kehamilan boleh menghalang jangkitan HIV Hanya kondom lateks sahaja yang boleh menghalang jangkitan HIV dari seseorang yang positif HIV ke seseorang yang lain
2.Aktiviti seks oral adalah selamat dari jangkitan HIV Kalau bendalir seksual yang mengandungi HIV masuk ke dalam mulut yang mempunyai luka, risiko jangkitan masih boleh berlaku
3. Anda boleh mengetahui jika seseorang itu HIV+ dengan melihat raut muka orang tersebut Anda hanya boleh mengetahui status kesihatan seseorang jika orang tersebut menjalani Ujian Antibodi HIV
4. Jika anda dijangkiti HIV, anda tidak ada harapan lagi Terdapat ubat anti-HIV di pasaran yang boleh mengurangkan kemaraan HIV dalam badan serta memanjangkandan memperbaiki kualiti kehidupan seseorang yang positif HIV
5. Semasa melakukan seks selamat mahupun seks tak selamat, anda tidak akan dijangkiti HIV jika zakar sempat dikeluarkan Anda masih menghadapi risiko jangkitan kerana air mazi mengandungi HIVdan mungkin juga terdapat tumpahan air mazi dari dalam kondom semasa zakar dikeluarkan.
18.0 PANDANGAN ISLAM TERHADAP HIV & AIDS
AIDS adalah suatu penyakit akibat perbuatan yang dibenci ALLAH SWT, AIDS sendiri tidak ada hukum pasti, hanya saja perbuatan seperti melakukan seks bebas yang menyimpang seperti Homoseksual atau lesbian, yang sering mendatangkan virus ini, hukumnya haram. Tidak menghairankan lagi AIDS telah menjadi berita yang menggemparkan seluruh dunia, bukan sahaja kerana ubat yang dapat menyembuhkan belum ditemui, tetapi juga penyebaran virus ini terjadi sangat cepat kesan daripada seks bebas yang menyimpang terus dilakukan oleh masyarakat. Di beberapa negara pernikahan sesama jenis tidak lagi dianggap pelik, bahkan mereka memperkuat pernikahan tersebut dengan adanya undang-undang yang mengesahkan pernikahan sejenis di negara mereka. Lain halnya di Indonesia, pernikahan sejenis memang tidak sesuai dengan hukum di Indonesia dan tiada sesiapa yang membenarkannya, tetapi melakukan seks bebas yang tidak terikat hukum pun dikecam oleh masyarakat kita, baik lawan jenis mahupun sesama jenis, hal ini tercermin pada masa Nabi Luth As, yang sesuai pada firman ALLAH SWT:
“Dan(kami telah mengutus) Luth, ketika dia berkata kepada kaumnya, “Mengapa kamu melakukan perbuatan keji?”, sungguh, kamu telah melampiaskan syahwatmu kepada sesama laki-laki bukan kepada perempuan. Kemu merupakan kaum yang melampaui batas. “usir mereka (Luth dan pengikutnya) dari negeri ini. kemudian kami selamatkan dan pengikutnya kecuali istrinya. Dan kami hujani mereka dengan hujan batu.” (surah al-A’raf ayat:80-84)
Sebenarnya ALLAH telah memperlihatkan kisah-kisah tentang peristiwa kejadian sebagai contoh teladan bagi mereka yang suka memikirkan. Contoh paling jelas ialah kejadian yang terjadi kepada kaum Luth kerana bergelimang dengan kejahatan dan kemungkaran. Mereka suka melakukan perbuatan yang keji iaitu laki-laki berkahwin dengan laki-laki dan mereka tidak suka berkahwin dengan perempuan. Sehingga ALLAH melaknat kaum tersebut dengan menghancurkan negeri tersebut. Negeri tersebut dihancurkan akibat perbuatan kaum Luth itu” firman ALLAH dalam AL-Qur’an:
“Lagi diberi tanda pada sisi Tuhan engkau. Tiadalah siksa itu terjadi kecuali untuk orang yang aniaya”. (surah Hud ayat:83)
Seperti Firman ALLAH, dapatlah kita dapat membuat kesimpulan bahawa AIDS pun terjadi kerana sikap manusia sendiri, tetapi bagaimanapun ALLAH tidak akan memutus rahmatnya kepada hambanya yang mau bertaubat, begitu indahnya Islam ketika kita mau mengikuti jalan yang benar.
Dengan adanya penyakit AIDS kita sebagai hambanya diingatkan untuk selalu memikirkan apa yang akan kita lakukan, Bertaubatlah wahai hamba ALLAH, kerana ALLAH tidak menurunkan suatu penyakit, kecuali diturunkan pula penawarnya. Jadi, jelaslah bahawa Islam telah mengatur semuanya dalam AL-Qur’an sebagai petunjuk agar kita tetap selalu dijalan ALLAH SWT. Ini Kerana telah banyak kejadian dan peristiwa yang di kisahkan oleh AL-Qur’an dari nabi-nabi dan rasul-rasul ALLAH.
19.0 KESAN HIV/AIDS KEPADA INDIVIDU, KELUARGA & MASYARAKAT
19.1 Individu
• Immuno Defisiensi (kelemahan pada sistem imun yang menyebabkan seorang mudah dijangkiti jangkitan sekunder seperti cirit-birit, kanser kulit dan pneumonia)
• Perasaan tersingkir dari kawan-kawan dan orang tersayang, serta keterasingan dari aktiviti sosial dan komuniti.
• Kemurungan disebabkan ketiadaan rawatan serta hilang upaya dalam mengawal diri.
• Kecenderungan membunuh diri adalah tinggi kerana berasa tidak berguna.
• Ditamatkan perkhidmatan atau ditolak permohonan pekerjaan tanpa sebab.
19.2 Keluarga
• Stres secara psikologial dalam kalangan semua ahli keluarga akibat kemarahan, kesedihan dan kegagalan memenuhi keprluan individu yang dijangkiti.
• Diskriminasi dan penyisihan dihadapi oleh semua ahli keluarga yang terlibat dalam penjagaan individu yang dijangkiti.
• Masalah ekonomi disebabkan kos perubatan yang tinggi serta rawatan yang kerap dengan ketidaksanggupan untuk bekerja.
19.3 Masyarakat
• Peruntukan bagi keperluan lain terpaksa dikurangkan akibat perbelanjaan berkaitan pencegahan AIDS, diagnosis, rawatan dan penjagaan.
• Bebanan pada sistem penjagaan kesihatan dan syarikat insurans.
• Kehilangan output ekonomi dan produktiviti disebabkan penyakit pada tahun-tahun yang paling produktif bagi seseorang yang bekerja.
20.0 KESIMPULAN
Kita boleh melambatkan penyebaran epidemik HIV jikalau semua orang mempunyai maklumat tepat dalam cara-cara pencegahan. Orang ramai sering bertindak secara prejudis dan penafian terhadap apa yang mereka tidak difahami. Reaksi-reaksi ini menghalang program-program pencegahan dan menyukarkan kehidupan orang-orang yang hidup dengan HIV/AIDS. Kita semua boleh membawa perubahan dengan melawan sikap prejudis dan penafian tersebut serta meningkatkan kefahaman mengenai HIV/AIDS.
Namun, sepertimana yang umum sedia ketahui, pencegahan adalah lebih baik dari merawat. Jauhkanlah diri daripada aktiviti-aktiviti yang boleh membawa kepada jangkitan HIV/AIDS. Sebagai umat Islam, kita amat digalakkan agar mendekatkan diri kepada Yang Maha Esa dan menjaga batas-batas pergaulan agar tidak terjerumus ke lembah kemaksiatan. Pegangan agama yang kukuh dapat membantu kita mengelakkan diri dari menjadi mangsa penyakit HIV/AIDS ini.
BIBLIOGRAFI
Palella, F.J (1998). "Declining morbidity and mortality among patients with advanced human immunodeficiency virus infection HIV Outpatient Study Investigators"..http://www.avert.org Diakses pada 3 September 2010.
Sterne, J.R (2003). "Prognostic importance of initial response in HIV-1 infected patients starting potent antiretroviral therapy: analysis of prospective studies". http://www.herpes-coldsores.com. Diakses pada 3 September 2010.
Dr Ahamad Jusoh (2005). “Fakta mengenai penyakit AIDS”. http://khairulanuar.blogspot.com. Diakses pada 3 September 2010.
Gunawan (2009). “AIDS”. http://artikel-kesehatan-aids.blogspot.com. Diakses pada 4 September 2010.
Kementerian Kesihatan Malaysia (1996). “Remaja dan AIDS : Media, Nilai, Personaliti dan Tingkahlaku”. http://www.prostar.org.my. Diakses pada 4 September 2010.
No comments:
Post a Comment