Monday, November 1, 2010

LAPORAN PBS MAJOR PJ

2.0 LAPORAN PERLAKSANAAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN PENDIDIKAN JASMANI DI SEKOLAH
Semasa menjalani program Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) selama lima hari di SK Temin, saya telah menjalankan beberapa aktiviti untuk mendapatkan maklumat bagi menyempurnakan laporan tugasan. Antara aspek yang perlu saya laporkan adalah seperti berikut :

2.1 Menyemak sukatan pelajaran dan perkaitannya dengan rancangan tahunan PJ di sekolah

Berdasarkan pemerhatian dan proses refleksi bersama guru PJ di sekolah ini, saya mendapati bahawa P&P PJ dijalankan mengikut sukatan pelajaran yang telah ditetapkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM). Berikutan semasa saya menjalani PBS ini merupakan pada bulan Ramadhan, maka P&P PJ telah digantikan dengan Pendidikan Kesihatan (PK). Maka guru telah menggunakan sukatan pelajaran PK untuk mengajar murid-murid. Dari aspek rancangan tahunan PJ di sekolah ini, ia selaras dengan sukatan pelajaran yang telah dirancang oleh KPM. Segala topik yang diajar adalah bertepatan dengan sukatan pelajaran. Di dalam rancangan tahunan PJ di sekolah ini, pihak panatia telah menyusunnya dengan baik iaitu dengan meletakkan P&P PK pada bulan Ramadhan. Ini langkah yang bijak untuk mengelakkan murid berasa penat dan menggalakkan murid berpuasa. (contoh sukatan pelajaran dilampirkan di bahagian lampiran.)

2.2 Mengenalpasti bidang / unit pembelajaran yang diajar berkaitan dengan tunjang pembelajaran.

Semasa menjalani PBS, saya berkesempatan melihat proses P&P PK yang dijalankan kepada kelas tahun dua. Unit pembelajaran yang diajarkan oleh guru ialah tunjang kesihatan. Guru mengajar murid mengenai tajuk ‘Kesihatan Diri & Keluarga’

Gambar 2.2 (a) P&P Pendidikan Kesihatan

Gambar 2.2 (b) Topik Kesihatan Diri & Keluarga

Gambar 2.2 (c) Buku teks PJPK

2.3 Membuat refleksi berkaitan huraian sukatan pelajaran dan perancangan tahunan.

Secara keseluruhannya, huraian sukatan pelajaran yang dihasilkan oleh KPM dan perancangan tahunan sekolah ini saling berkaitan dan selaras dengan kehendak KPM seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK). Perancangan tahunan sekolah ini telah dirancang dengan bijak oleh panatia PJ. Sebagai contoh, pada bulan Ramadhan, guru diminta mengajar topik di bawah tunjang kesukanan dan kesihatan. Oleh yang demikian, guru tidak perlu mengadakan P&P di padang. P&P pada bulan Ramadhan dijalankan di dalam bilik darjah untuk mengelakkan murid berasa letih dan menggalakkan murid berpuasa. Pada bulan lain, P&P dijalankan mengikut sukatan pelajaran terutamanya berkaitan dengan tunjang kecergasan.

2.4 Membuat pemerhatian pengajaran guru Pendidikan Jasmani

Selama lima hari menjalani PBS di sekolah ini, saya sempat mengikuti dua sesi pengajaran dan pembelajaran PK yang dijalankan oleh dua orang guru PJ di sekolah ini. Berikut adalah laporan bagi kedua-dua sesi P&P PK yang saya ikuti :
Sesi P&P satu :

Gambar 2.4 (a) Sesi P&P PJPK tahun dua

Gambar 2.4 (b) Sesi P&P PK

Gambar 2.4 (c) Guru mempelbagaikan teknik pengajaran

Gambar 2.4 (d) Murid mengambil bahagian secara aktif

Gambar 2.4 (e) Murid menyalin nota yang diberikan guru

Gambar 2.4 (f) Murid melukis gambar berpandukan buku teks PJPK

Sesi P&P pertama yang saya ikuti adalah bersama Encik Zulkifli bin Daud. Beliau merupakan guru senior dalam matapelajaran PJ. Beliau mempunyai pengalaman yang luas dalam matapelajaran PJ ini. Pada ketika saya membuat pemerhatian, beliau telah menjalankan P&P di bawah tunjang kesihatan iaitu topik ‘Kesihatan Diri & Keluarga’. Topik ini berkaitan dengan mengenali tubuh badan. Berdasarkan pemerhatian saya, saya dapati cara pengajaran beliau amat menarik. Walaupun P&P beliau hanya menggunakan ‘kapur & papan hitam’, namun beliau berjaya menarik minat murid untuk menumpukan perhatian terhadap P&P. Suara beliau yang kuat dan jelas membolehkan murid-murid mendengar dengan baik. Murid-murid kelihatan ceria sepanjang P&P beliau. Buktinya murid-murid bersungguh-sungguh mengambil bahagian dalam setiap aktiviti kelas seperti menjawab pertanyaan guru apabila guru bertanyakan soalan. Masing-masing berebut-rebut untuk ke hadapan kelas dan menjawab pertanyaan guru. Selain daripada guru bertanyakan murid beberapa soalan berkaiatan dengan topic yang diajarkan pada hari tersebut, terdapat juga murid-murid yang rajin mengajukan soalan kepada guru apabila mereka tidak memahami sesuatu perkara.

Sesi P&P kedua:

Gambar 2.4 (f) Sesi P&P PJPK tahun satu

Gambar 2.4 (g) Sesi P&P PJPK sesi kedua

Gambar 2.4 (h) Murid mengambil bahagian dalam P&P

Sesi P&P kedua ini lebih menarik. P&P PK ini P&P ini dibawah seliaan Puan Wan Suhaila binti Wan Hamzah. Beliau merupakan guru dari program Kursus Perguruan Lepasan Ijazah (KPLI) dan baru bertugas sebagai guru selamasatu tahun. Walaupun pengalaman beliau dalam bidang perguruan masih cetek, namun ternyata lepasan KPLI ini mampu mengendalikan P&P dengan baik. Pada 30 minit yang pertama, guru memperkenalkan topik yang ingin diajarkan kepada murid iaitu di bawah tunjang kesihatan iaitu tajuk Kesihatan Diri & Keluarga berkaitan penjagaan kesihatan anggota badan. Murid mengambil bahagian dalam sesi P&P dengan menjawab pertanyaan yang diajukan oleh guru. Guru menyenaraikan makanan berkhasiat dan makanan tidak berkhasiat di papan hitam untuk disalin oleh murid dan guru memberi penerangan tentang kedua-dua jenis makanan tersebut. Guru juga memantau kesihatan gigi murid dan menasihatkan murid agar menjaga kesihatan gigi.

Pada 30 minit berikutnya, untuk mengelakkan murid berasa bosan dengan P&P, guru membawa murid ke makmal komputer. Di situ guru telah menggunakan Bahan Bantu Mengajar (BBM) berbentuk tayangan slide multimedia dan nyanyian lagu. Guru memaparkan gambar kesan apabila tidak menjaga kesihatan tubuh badan untuk merangsang murid menjaga kesihatan badan.Kemudian guru meminta murid-murid menyatakan kesan lain. Selepas itu, untuk membuatkan murid lebih ingat dan faham kepada isi pembelajaran yang disampaikan pada sesi tersebut, guru mengajar murid menyanyi. Lagu yang dipilih berkaiatan dengan topik yang diajar pada sesi P&P tersebut. Murid-murid kelihatan begitu terhibur dengan aktiviti tersebut.
(rakaman sesi P&P ini dilampirkan di bahaguan lampiran dalam bentuk cakera padat)

Gambar 2.4 (i) P&P PJPK di makmal komputer

Gambar 2.4 (j) Tayangan slide multimedia


2.5 Mengenalpasti kaedah dan teknik yang digunakan oleh guru semasa mengajar

Berdasarkan pemerhatian terhadap kedua-dua sesi P&P PJPK yang saya ikuti, antara teknik yang digunakan oleh guru kepada kelasnya ialah teknik arahan. Guru memberi arahan kepada murid untuk mengeluarkan buku teks dan buku latihan serta meletakkannya di atas meja. Apabila guru mengarahkan murid untuk berdiri dan melakukan aktiviti regangan, murid mengikut arahan guru setelah melihat demonstrasi oleh guru. Selain itu, teknik penyelesaian masalah juga diterapkan dalam P&P PJPK tersebut. Sebagai contoh, guru mengajukan pertanyaan kepada murid mengenai fungsi jantung dan paru-paru. Murid-murid cuba berfikir tentang fungsi jantung dan paru-paru kemudian menyatakannya kepada guru.

Tambahan lagi, guru juga menggunakan teknik pembelajaran koperatif iaitu murid dibahagikan kepada kumpulan kecil yang terdiri daripada ahli yang berbeza keupayaan ke arah mencapai objektif dan matlamat pembelajaran yang sama. Buktinya, guru membahagikan murid kepada dua kumpulan dan setiap kumpulan diminta menyenaraikan makanan berkhasiat dan makanan tidak berkhasiat. Murid-murid bekerjasama untuk mendapatkan jawapan bagi soalan guru tersebut.

2.6 Memerihalkan pengelolaan kelas semasa pengajaran dan pembelajaran

Ketika pemerhatian dijalankan, saya mendapati bahawa guru berjaya mengelolakan kelas dengan baik. Pada permulaan sesi P&P, guru cuba untuk meransang murid untuk lebih menumpukan kepada topik yang disampaikan. Sebagai contoh, ketika topik mengenali tubuh badan iaitu jantung, guru meminta murid mengenggam tangan kanan dan memberitahu murid bahawa saiz jantung manusia adalah sebesar segenggam tangan. Kemudiannya guru meminta murid meletakkan genggaman tangan tersebut ke bahagian tengah dada (sedikit ke kiri). Ini menunjukkan bahawa guru telah memberikan arahan dengan baik dan mampu dilakukan oleh murid. Selain itu, kawalan kelas adalah baik. Sewaktu guru memberikan penerangan di hadapan kelas, murid memberikan perhatian kepada guru. Cuma terdapat beberapa murid yang mengambil peluang ke bahagian belakang kelas untuk mengasah pensil. Perlakuan murid tersebut segera ditegur oleh guru. Pada sesi akhir P&P, guru cuba meransang murid untuk mengingati topik yang diajarkan pada hari tersebut dengan menggunakan set induksi yang menarik. Sebagai contoh, guru menggunakan BBM berbentuk slide multimedia berkaitan topik yang diajar. Selain itu, guru meransang murid dengan nyanyian lagu. Murid-murid kelihatan terhibur dan apabila guru mengajukan soalan berkaitan topik yang diajar, murid dapat menjawab dengan baik. Ia menunjukkan murid memahami topik yang diajarkan pada hari tersebut.

2.7 Melaporkan pencapaian objektif dalam perlaksanaan pengajaran dan pembelajaran

Setelah dua sesi P&P yang telah saya ikuti, saya mendapati kedua-dua P&P telah mencapai objektif dari segi kognitif dan afektif. Namun, aspek psikomotor tidak dapat dicapai kerana P&P tersebut merupakan P&P PK yang mana P&P dijalankan di dalam bilik darjah. Buktinya, aspek kognitif dapat dilihat apabila guru mengajukan soalan berkaitan fungsi jantung dan paru-paru, murid-murid dapat menyatakan fungsi-fungsi tersebut dengan betul. Murid-murid juga dapat menyenaraikan makanan yang berkhasiat dan makanan yang tidak berkhasiat. Bagi aspek afektif pula, ia dapat dilihat sewaktu murid-murid berbaris dengan teratur ketika bergerak menuju ke makmal komputer. Tambahan pula, sewaktu guru meminta murid menyanyikan lagu secara serentak, nilai kerjasama memberikan keseragaman dalam nyanyian tersebut.

2.8 Mengenalpasti masalah guru dalam melaksanakan pengajaran Pendidikan Jasmani di sekolah.

Terdapat beberapa kesukaran yang dihadapi oleh guru PJ di sekolah ini. Masalah pertama ialah ketika mengajar kemahiran gimnastik. Ini kerana sekolah ini tidak mempunyai peralatan yang cukup seperti tilam gimnastik, belantan, dan papan lombol. Jadi, murid-murid tidak dapat mempelajari kemahiran yang menggunakan alatan tersebut. Sebagai langkah penyelesaian, guru bolehlah menghasilkan alatan ubahsuai yang mirip kepada alatan sebenar. Selain daripada itu, pengajaran kemahiran gimnastik agak terbatas kerana di sekolah ini tidak terdapat guru yang pakar dalam bidang gimnastik. Sehubungan dengan itu, kemahiran tersebut diajar sekadar yang termampu dilakukan oleh guru. Maka, demonstrasi tidak dapat dilakukan sepenuhnya.

Masalah kedua ialah pengajaran PJPK kepada murid tahun satu terutamanya kepada kelas terakhir. Murid-murid kelas tersebut rata-ratanya tidak tahu membaca dan mengeja. Mereka merupakan murid-murid yang mengikuti program LINUS di sekolah ini. Kesukaran untuk mengajar terjadi apabila guru menggunakan buku teks kerana mereka tidak dapat membaca. Oleh yang demikian, bagi menangani masalah ini, guru perlu menggunakan pendekatan yang berbeza untuk memastikan murid dapat memahami isi pembelajaran. Antara pendekatan yang digunakan ialah guru mengajar sesuatu topik dalam unit yang kecil dan berulang-ulang kali supaya muri-murid dapat mengingati apa yang diajar. Selain itu, guru menggunakan BBM yang sesuai seperti slide multimedia dan nyanyi lagu untuk meransang murid.

Masalah ketiga agak serius iaitu tiada P&P PJPK diajarkan kepada murid tahun enam sekolah ini. Waktu P&P PJPK bagi murid tahun enam di sekolah ini digantikan dengan P&P subjek peperiksaan. Masalah ini bukanlah berpunca daripada guru PJ di sekolah ini, tetapi ia merupakan arahan daripada pihak pentadbiran sekolah. Maka guru PJ tidak dapat berbuat apa-apa dan terpaksa akur dengan kehendak pihak pentadbiran sekolah.


3.0 LAPORAN PENGURUSAN PANITIA PENDIDIKAN JASMANI DI SEKOLAH

Tugasan ini memerlukan saya berkomunikasi dengan panitia PJ di sekolah ini untuk mendapatkan beberapa maklumat mengenai pengurusan panitia PJ sekolah. Berikut merupakan aspek yang perlu saya laporkan :

3.1 Membuat pemerhatian pengurusan Panitia PJ di sekolah

Menerusi pemerhatian dan soal selidik yang telah saya jalankan, saya berpendapat bahawa pengurusan panitia sekolah ini berada pada tahap sederhana sahaja. Ini kerana sewaktu saya meminta laporan tentang pengurusan panitia ini, saya mendapati panitia ini hanya mengadakan mesyuarat satu tahun sekali iaitu pada awal januari sahaja. Selain itu, fail pengurusan juga tidak dikemaskini dan ia menyukarkan saya untuk mendapatkan maklumat berkaitan aktiviti yang dijalankan oleh panatia ini. Menurut ketua panitia, Encik Zulkifli bin Daud, matapelajaran PJ di sekolah ini dianak tirikan oleh pihak pengurusan kerana beranggapan bahawa matapelajaran teras ataupun peperiksaan lebih penting, maka pihak pengurusan tidak begitu mengambil berat kepada pencapaian murid sekolah ini dalam matapelajaran PJ. Namun, guru-guru PJ sekolah ini tetap komited dalam P&P PJPK kepada murid-murid sekolah ini.

3.2 Membuat pemerhatian berkaitan pengurusan dan peraturan stor sukan dan stok kelengkapan sukan.

Saya telah berkesempatan untuk membuat pemerhatian dan kaji selidik berkaitan pengurusan dan peraturan stor sukan dan stok kelengkapan sukan. Pengurusan stor sukan sekolah ini agak baik walaupun kelengkapan sukannya tidak mencukupi. Stor sukan ini mempunyai sistem pinjaman peralatan yang tersusun. Sebelum meminjam peralatan sukan, guru yang ingin menggunakan peralatan tersebut diwajibkan menulis rekod peralatan yang dipinjam di dalam buku rekod pinjaman peralatan yang telah disediakan. Setelah siap menggunakan peralatan tersebut, guru diminta menandatangani pengakuan pemulangan alatan tersebut di dalam buku rekod yang sama.


Gambar 3.2 (a) Stor Sukan SK Temin

Gambar 3.2 (b) Buku rekod pinjaman peralatan sukan

Gambar 3.2 (c) Rekod pinjaman dan pemulangan

Untuk memastikan urusan pihak pengurusan stor sukan ini berjalan lancar, terdapat panduan dan peraturan yang telah ditetapkan kepada sesiapa yang ingin menggunakan stor sukan ini. Satu papan yang ditulis panduan dan peraturan di stor PJK telah digantung di bahagian luar stor sukan ini untuk memudahkan murid atau guru membaca dan memahami peraturan sebelum menggunakan peralatan dari stor sukan ini. Antara peraturan yang mesti dipatuhi ialah:

(1) Pastikan mendapat kebenaran dari guru Pendidikan Jasmani terlebih dahulu sebelum mengambil peralatan sukan dari stor.
(2) Sebagai langkah keselamatan, elakkan dating ke stor bersendirian tanpa memaklumkan kepada guru Pendidikan Jasmani.
(3) Gunakan peralatan sukan mengikut kperluan sebaik-baiknya. Dilarang menyalahgunakan peralatan-peralatan tersebut.
(4) Untuk mengelakkan kehilangan atau kecurian peralatan sukan, pastikan pintu stor sentiasa tertutup setiap kali sebelum beredar.
(5) Pastikan suis eletrik ditutup setiap kali sebelum beredar.


Gambar 3.2 (d) Panduan dan peratutan stor PJK

Dari aspek peralatan sukan di dalam stor ini, peralatan yang terdapat hanya pada tahap minimum. Tidak semua peralatan yang diperlukan untuk P&P PJ ada di dalam stor ini. Maka, sesi P&P PJ agak terganggu kerana kekurangan peralatan. Namun, susun atur peralatan-peralatan tersebut kemas dan tersusun. Peralatan juga dilabelkan dengan label yang betul. Oleh kerana kekurangan ruang, peralatan unit kokurikulum seperti peralatan perkhemahan juga diletakkan sekali di dalam stor ini.


Gambar 3.2 (e) Susun atur peralatan sukan

Gambar 3.2 (f) Peralatan sukan yang tidak mencukupi

Gambar 3.2 (g) Peralatan yang disusun kemas

Gambar 3.2 (h) Skitel

Gambar 3.2 (i) Rak yang kekurangan alatan

Gambar 3.2 (j) Peralatan yang rosak

Gambar 3.2 (k) Carta bergambar

Gambar 3.2 (l) Pembahagi antara stor sukan dan stor kokurikulum

Dari aspek stok kelengkapan sukan, saya telah cuba mendapatkan rekod pembelian dan juga rekod lupus kira peralatan sukan daripada pihak pengurusan stor sukan, namun kerana kekangan masa, mereka tidak berkesempatan untuk menunjukkan rekod-rekod tersebut kepada saya. Namun, menurut mereka, setiap peralatan baru yang dibeli dan peralatan lama yang rosak dan perlu dilupus kira, mereka akan mencatatkannya di dalam rekod untuk tujuan audit pada setiap hujung tahun.
3.3 Membuat pemerhatian kelengkapan kemudahan prasarana sukan di sekolah.

Berdasarkan pemerhatian yang telah saya jalankan, saya mendapati sekolah ini mempunyai prasarana asas yang cukup seperti padang dan trek balapan. Namun, saya berpendapat bahawa penyelenggaraan prasarana-prasarana tersebut agak kurang. Sebagai contoh, ketika pemerhatian dijalankan, padang ditumbuhi rumput yang tebal dan kemuncup yang banyak. Selain itu, tiang gol bola sepak juaga tidak mempunyai jaring. Tiang gol bola jaring pula tidak dipacakkan dengan selamat, tetapi ia disendal dengan batu besar. Keadaan tersebut amat berbahaya kepada murid-murid terutama ketika mereka bermain bola jaring kerana mungkin ada di antara mereka akan tersepak atau tersadung pada batu tersebut dan akan mengakibatkan kecederaan. Trek balapan didapati agak kabur garisannya. Ini mungkin kerana ia telah lama disiapkan dan rumput yang tebal juga menjadi salah satu sebab garisan trek tersebut agak tidak kelihatan.


Gambar 3.3 (a) Padang

Gambar 3.3 (b) Tiang gol yang tidak berjaring

Gambar 3.3 (c) Tiang bola jaring yang disendal batu

Gambar 3.3 (d) Rumput tebal dan kemuncup

Sekolah ini mempunyai taman permainan yang mempunyai beberapa prasarana yang boleh digunakan untuk P&P PJ seperti palang sejajar, buaian, jongkang-jongket dan banyak lagi.


Gambar 3.3 (e) Palang sejajar

Gambar 3.3 (f) Palang

Gambar 3.3 (g) Buaian

Gambar 3.3 (h) Jongkang-jongket



4.0 RUMUSAN

Secara keseluruhannya, selama empat hari saya menjalani Pengalaman Berasaskan Sekolah (PBS) di SK Temin, saya mendapati bahawa sesi P&P Pendidikan Kesihatan (PK) di sekolah ini berjalan dengan baik secara amnya. Namun, bagi meningkatkan keberkesanan dalam sesi P&P PK, guru bolehlah mengambil beberapa inisiatif untuk menarik minat murid-murid menumpukan perhatian kepada isi pembelajaran seterusnya memahami dan mengamalkan apa yang telah mereka pelajari dalam kehidupan seharian mereka.

Antara inisiatif yang boleh diambil oleh guru ialah guru bolehlah menggunakan set induksi yang lebih baik agar murid teransang untuk menumpukan perhatian terhadap sesi P&P. Bahan Bantu Mengajar (BBM) yang mantap juga dapat membantu dalam usaha menarik minat murid kerana dengan BBM yang menarik, ia bukan sahaja dapat meningkatkan minat murid bahkan dapat memastikan isi pembelajaran yang disampaikan diingati oleh murid-murid.

Selain itu, dari aspek peralatan sukan yang tidak mencukupi, salah satu cara untuk mengatasi masalah tersebut ialah dengan mereka alatan ubahsuai yang mirip kepada peralatan yang sebenar. Sebagai contoh, sekiranya kayu pemukul besbol tidak mencukupi atau tiada, guru boleh menghasilkan kayu pemukul daripada gulungan surat khabar. Manakala, bola pula boleh dihasilkan menggunakan gumpalan kertas. Peralatan sebegini mungkin lebih menarik minat murid-murid kerana ia adalah hasil kekreatifan guru mereka. Mungkin juga guru boleh meminta murid-murid yang menghasilkan peralatan ubahsuai tersebut dan pastinya murid-murid akan lebih menghargai barang yang mereka hasilkan sendiri.

4 comments:

Eric said...

OK NI UNTUK RUJUKAN SAYA.. MAKASIH

Fa Farisha said...

asslm,,,,mintak izin utk tgk blog nie utk rujukan assignment pj sy,,tq,,=)

sEruNai KayU said...

utk rujukan juga ya....

liyana omar said...

assalamualaikum, saya minta nk buat rujukan laporan ni.. tq.. =)